Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt,
Yang dimuliakan S.S Mufti Selangor serta pihak Jabatan Mufti Selangor.
Pertanyaan saya, dari sudut kelebihan, adakah sama pahala orang yang solat di saf pertama di dalam dewan solat utama dengan orang yang solat saf pertama di luar dewan solat(wing kiri kanan masjid)? Manakah yang lebih utama dan kaedah mana yang sunnahnya patut diamalkan ketika memenuhkan saf?
Terima kasih
Ikhwan
Jawapan
Berdasarkan persoalan yang diajukan, orang yang solat saf pertama sama ada di dalam dewan solat utama atau di luar dewan utama (wing kanan & kiri masjid) mendapat ganjaran pahala solat di saf pertama. Kaedah untuk memenuhkan saf solat adalah dengan memulakan saf di belakang imam pada bahagian tengah, kemudian diikuti dengan bahagian kanan dan kiri makmum secara bergilir. Diriwayatkan daripada Jabir r.a. dalam satu hadis yang panjang, ringkasnya:
Maksudnya: Rasulullah ﷺ bangun untuk menunaikan solat… Kemudian aku datang lalu berdiri di sebelah kiri Rasulullah ﷺ. Baginda memegang tanganku lalu memindahkanku sehingga Baginda menempatkanku di sebelah kanan Baginda. Kemudian datang Jabbar bin Sakhr, lalu beliau berwuduk, kemudian datang dan berdiri di sebelah kiri Rasulullah ﷺ. Maka Rasulullah ﷺ memegang tangan kami berdua dan menolak kami sehingga Baginda menempatkan kami berdiri di belakang Baginda. (Riwayat Muslim)
Ini merupakan tatacara yang diajarkan oleh Rasulullah SAW bagi memenuhi saf solat.
Sekian, terima kasih.