BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz..

pertanyaan saya..saya singgah solat maghrib di surau yang mana iman yang dilantik si surau itu sudah selesai solat berjemaah..selesai berwuduk saya dan anak saya terus masuk ke dalam surau dan terus solat maghrib berjemaah tanpa sedari ada 3 orang sedang solat beriman di bahagian belakang surau itu..bermakna berlaku solat berjemaah dengan 2 iman di sah yang berlainan..adakah sah solat saya itu..


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Solat berjemaah amat dituntut (fardu kifayah/ain) dan lebih utama berbanding solat bersendirian dengan ganjaran pahala 27 kali ganda. Ia menyatukan umat, mendisiplinkan diri, dan menghidupkan syiar Islam di masjid atau surau. Berdasarkan situasi yang tuan alami ini sebenarnya cukup lumrah berlaku di surau-surau kawasan Rehat & Rawat (R&R) atau pusat membeli-belah yang menjadi persinggahan orang ramai.

Berkaitan status solat tuan dan anak adalah sah. Walaupun berlaku dua jemaah dalam satu masa (ta’adud al-juma’ah), ia tidak membatalkan solat tersebut secara automatik. Syarat sah solat berjemaah adalah adanya imam dan makmum yang mengikut rukun solat dengan betul. Oleh kerana tuan dan anak memenuhi syarat-syarat solat, maka solat tersebut dikira sah di sisi syarak.

Melakukan dua jemaah dalam satu masjid/surau pada waktu yang sama adalah makruh, tetapi tidak membatalkan solat. Dihukumkan sebagai makruh kerana Ia boleh menimbulkan kekeliruan suara (suara imam bertindih) dan seolah-olah menunjukkan perpecahan di kalangan umat Islam. Namun dalam situasi yang dinyatakan, tuan tidak menyedari adanya jemaah lain di bahagian belakang, maka unsur "sengaja" itu tiada. Dari sudut hukum, anda tidak menanggung dosa atau makruh kerana kejahilan (tidak tahu) terhadap kewujudan jemaah pertama.

Dalam hal ini Imam al-Ramli menyatakan dalam Nihayah Al-Muhtaj:

 أما المسجد المطروق فلا يكره فيه تعدد الجماعات ولو كان له إمام راتب ووقع فيه جماعتان معا

Maksudnya: Adapun masjid al-mathruq (masjid yang berada di kawasan laluan orang ramai) maka tidak dimakruhkan untuk berlakunya banyak jemaah padanya. Sekalipun jika masjid tersebut mempunyai imam ratib (rasmi). (Dan tidak makruh) untuk berlakunya dua jemaah serentak di dalamnya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 36

message user image