Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum warahmatullah wa barakaatuh.
Tuan Mufti, saya mempunyai satu kemusykilan berkenaan hukum pendapatan hasil bekerja di negara lain tanpa kebenaran pihak berkuasa yang sah.
Pada asasnya, semua bentuk pekerjaan adalah halal selagi tiada dalil yang mengharamkannya. Namun, dalam konteks seseorang yang bekerja di sesebuah negara tanpa izin atau permit yang ditetapkan oleh pemerintah, adakah perbuatan tersebut boleh dikategorikan sebagai merampas hak pekerjaan orang lain, sama ada warga tempatan atau individu yang memiliki permit sah?
Sekiranya ia termasuk dalam perbuatan mengambil hak orang lain secara tidak sah (ghasb al-manfa‘ah), adakah pendapatan yang diperoleh daripada pekerjaan tersebut dikira haram kerana ia terhasil melalui cara yang menyalahi syarak?
Mohon pencerahan dan penjelasan daripada pihak tuan. Wallāhu a‘l am.
Jawapan
Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 29:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.
Oleh yang demikian, hasil pendapatan daripada pekerjaan tanpa permit kerja yang sah adalah halal selama mana pekerjaan yang dilaksanakan itu adalah halal, dan tidak melibatkan penipuan atau kezaliman ke atas majikan.Harus menggunakan hasil pendapatan itu untuk kegunaan yang dibenarkan syarak seperti membina rumah, menunaikan umrah, bersedekah dan sebagainya serta wajiblah membayar zakat simpanan wang tersebut apabila cukup haul dan sampai nisabnya.
Namun, mentaati arahan pemerintah (bekerja dengan permit yang sah) adalah wajib jika arahan tersebut mempunyai maslahat yang munasabah, berkemungkinan besar larangan bekerja itu atas faktor keselamatan kepada negara dan ia memberi kesan kepada keperluan kerja oleh rakyat tempatan, melainkan sektor pekerjaan yang sememangnya tidak dilakukan oleh rakyat tempatan,
Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 59:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.
Kesimpulannya, pendapatan pekerjaan masih halal selagi mana pekerjaannya tidak melanggar syariat Islam, namun ia kekal berdosa kerana pelanggaran kepada peraturan sesebuah negara tersebut adalah haram sebagaimana firman Allah SWT di atas.
Sekian, terima kasih