Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Saya ingin bertanya mengenai pembahagian faraid ibu tiri
Ayah telah meninggal dunia pada Oct 2025
Isteri pertama : telah meniggal dunia pada 1998 & mempunyai 1 lelaki & 2 anak perempuan ( Hasil bersama ayah )
Isteri kedua : masih hidup & tidak mempunyai anak
Jadi berapa pecahan faraid ibu tiri sy ( isteri kedua ayah ) & pecahan untuk anak anak isteri pertama ?
Jawapan
Merujuk kepada fakta kes dan persoalan yang dikemukakan, waris yang layak ke atas harta pusaka si mati adalah isteri kedua arwah ayah mewarisi sebanyak 1/8 bahagian, manakala seorang anak lelaki dan dua orang anak perempuan arwah ayah mewarisi secara Asobah Bi al-Ghairi iaitu yang menghabisi dari bahagian waris yang lain. Adapun pembahagian bagi setiap seorang adalah sebagaimana berikut:
| Waris | Asal masalah | Bahagian |
|---|---|---|
| Isteri | 1/8 | 4/32 |
| Anak lelaki | Asobah Bi al-Ghairi | 14/32 |
| Anak perempuan | Asobah Bi al-Ghairi | 7/32 |
| Anak perempuan | Asobah Bi al-Ghairi | 7/32 |
Namun, senarai pembahagian faraid kepada waris-waris yang dinyatakan di atas adalah hanyalah berdasarkan kepada fakta yang diberikan oleh pihak puan. Bagi mendapatkan pengiraan dengan lebih tepat, disarankan kepada pihak puan agar mendapatkan perintah faraid di Mahkamah Syariah.
Sekian, terima kasih.