Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Beberapa bulan sebelum ini, adik saya sakit projectile vomit sehingga terkena pintu bilik saya. Saya pada mulanya alirkan air namun diberhentikan oleh ibu yg suruh guna baby wipe sebab tidak mahu banjir rumah kerana muntahnya begitu banyak dari dapur ke ruang tamu dan ketika itu baru selesai basuh bahagian sepan bilik. Saya rasa saya tak berjaya membersihkan dengan sempurna guna air mengalir dan terpaksa mengelap sisa nasi dan muntah guna tisu bagi menyedapkan hati ibu.
Selang beberapa bulan, kesan muntah sudah tiada namun saya waswas jika pintu saya itu kira najis hukmiyah jika terkena baju lembap. Saya telah alirkan air namun sedikit sahaja bahagian pintu yg tinggal sisa2 atau cipratan dilap guna baby wipe.
Adakah masih dikira najis? Saya mengalami masalah OCD dan sering dilanda kesukaran, lagi2 ibu saya tidak percaya muntah itu najis. Terima kasih kerana sudi menjawab.
Assalamualaikum.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan mengenai hukum najis muntah, perlu ditegaskan bahawa muntah dikategorikan sebagai najis mutawassitah yang memerlukan proses penyucian secara fizikal dan sifatnya. Kaedah penyucian yang utama mengikut syarak adalah dengan cara menghilangkan atau membuang terlebih dahulu ain atau zat najis tersebut, kemudian diikuti dengan mengalirkan air mutlak sehingga hilang segala sifatnya yang meliputi warna, bau, dan rasa.
Dalam situasi yang dihadapi, tindakan awal mengalirkan air pada kesan muntah tersebut merupakan langkah penyucian yang tepat mengikut hukum fiqh. Walaupun proses pembersihan tersebut kemudiannya dibantu dengan penggunaan tisu atau baby wipes atas arahan ibu, status kesucian tempat tersebut tetap dianggap sah dan suci sekiranya segala kesan fizikal seperti warna, bau, dan zat muntah telah hilang sepenuhnya. Penggunaan baby wipes pada sisa-sisa atau percikan kecil selepas air dialirkan berfungsi sebagai bantuan untuk memastikan tiada lagi sifat najis yang tertinggal, sekaligus menyempurnakan proses pembersihan tersebut.
Bagi najis yang bersifat hukmiyah, iaitu najis yang telah hilang kesannya tetapi diyakini pernah berada di situ. Tempat yang terdapat najis hukmiyyah tidak menyebabkan sesuatu yang terkena padanya walaupun dalam keadaan basah. Hanya, tempat tersebut tidak suci. Memadai dengan sekadar mengalirkan air walaupun sedikit ke atas kawasan berkenaan untuk menetapkan status suci. Oleh yang demikian, apabila pintu tersebut telah dibersihkan dan tidak lagi menunjukkan sebarang kesan muntah yang nyata, maka pintu itu kini berstatus suci dan tidak akan menajiskan pakaian atau objek lembap yang menyentuhnya.
Bagi individu yang menghadapi masalah OCD atau sering dilanda perasaan was-was, adalah penting untuk memahami bahawa Islam merupakan agama yang mendahulukan kemudahan dan tidak membebankan umatnya. Syarak tidak menuntut kesempurnaan yang melampaui batas kemampuan manusia dalam urusan bersuci. Cukuplah sekadar berusaha melakukan pembersihan sehingga kesan najis hilang secara zahir, dan selepas itu, segala keraguan atau perasaan was-was haruslah diabaikan demi menjaga kelancaran ibadah dan ketenangan jiwa.
Sekian, terima kasih.