Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt.
Saya seorang pemandu e-hailing.
Itu hari saya ada mendapat order dari seorang penumpang non-muslim. Masa saya mahu jemput penumpang tersebut dari rumahnya, saya lihat rumahnya ada dua ekor anjing.
Penumpang tersebut menaiki kereta saya dan saya meneruskan menghantar beliau ke destinasi yang ditetapkan seperti biasa. Dan apabila sampai ke destinasi, saya menurunkan penumpang tersebut dengan selamat.
Apabila saya memeriksa tempat duduk penumpang tersebut, saya dapati ada beberapa bulu-bulu yang melekat. Bulu-bulu tersebut berwarna putih dan keperangan. Saya tidak pasti itu bulu anjing atau apa. Kebetulan pada ketika itu tempat duduk penumpang tersebut basah kerana hujan.
Soalan, adakah saya perlu sertu tempat duduk penumpang tersebut atau mengabaikan sahaja DISEBABKAN ketidak kepastian dari mana datangnya bulu-bulu tersebut?
Terima kasih.
Jawapan
Berdasarkan situasi yang tuan hadapi, isu utama adalah mengenai status kesucian bulu yang ditemui di tempat duduk kereta , terutamanya apabila terdapat keraguan sama ada ia adalah bulu anjing atau bukan, dan tempat duduk tersebut basah.
Dalam Islam, anjing dianggap sebagai najis mughallazah (najis berat). Oleh itu, jika bulu anjing yang basah bersentuhan dengan sesuatu yang basah, ia akan menyebabkan najis tersebut merebak. Namun, jika bulu anjing itu kering dan bersentuhan dengan sesuatu yang kering, ia tidak akan menyebabkan najis merebak.
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, dalam kaedah fiqh, terdapat prinsip "al-yaqin la yuzalu bi al-shakk" :
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan (syak)
Ini bermakna, jika pihak tuan meyakini bahawa sesuatu itu suci pada asalnya, keraguan yang timbul kemudian tidak akan mengubah status kesuciannya melainkan ada bukti yang kukuh.
Dalam persoalan ini, dalam keadaan tuan tidak pasti sama ada bulu tersebut adalah bulu anjing atau bukan, maka keraguan ini tidak cukup untuk mewajibkan anda melakukan sertu.
Sehubungan itu, berdasarkan prinsip fiqh di atas dan ketidakpastian tuan untuk mengenai jenis bulu tersebut, tuan tidak perlu melakukan sertu pada tempat duduk kereta tersebut. Cukuplah dengan membersihkan bulu-bulu tersebut seperti membersihkan kotoran biasa.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.