BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.. mohon pencerahan

 

Sy ade trade bitcoin yang menggunakan akaun swap free syariah. tp dier ade laverage 1:1000.. adakah ianya betul2 patuh syariah?..

dan yang ke dua, adakah short (sell) trade patuh syariah?..

terima kasih

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Secara umumnya, hukum bitcoin menurut keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 17 Ogos 2021 telah memutuskan bahawa:

Harus untuk menjalankan urusniaga menggunakan mata wang digital sama ada sebagai perantara pembayaran (medium of payment), pemindahan wang (remittance) dan aset simpanan sekiranya memenuhi parameter-parameter di bawah:

a) Urus niaga melibatkan mata wang digital hendaklah dilakukan melalui platform pertukaran mata wang digital berlesen yang diluluskan dan dikawal selia oleh pihak berautoriti sahaja;

b) Pengguna hendaklah mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai:

     i. Jenis, ciri-ciri utama dan risiko berkaitan mata wang digital;

    ii. Perkara-perkara teknikal yang mencukupi mengenai bagaimana untuk memperoleh mata wang digital dan di mana ia perlu disimpan untuk memastikan keselamatannya;

   iii. Peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh platform pertukaran mata wang digital berlesen yang diluluskan dan dikawal selia oleh pihak berautoriti; dan

   iv. Undang-undang dan peraturan yang berkaitan mata wang digital.

Merujuk kepada persoalan, leverage yang dijanjikan adalah 1:1000 yang menunjukkan pinjaman yang menjamin keuntungan yang tinggi adalah tidak dibenarkan kerana dikhuatiri mempunyai unsur riba dan judi. 

Manakala konsep short selling ialah tindakan menjual saham yang belum dimiliki (dipinjam daripada broker) pada harga tinggi dengan harapan harga akan turun dan keuntungan diperoleh apabila kontrak tersebut dibeli semula pada harga yang lebih rendah. Berdasarkan situasi ini, syarak melarang jual beli sesuatu yang tidak dimiliki pada waktu akad berlangsung. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripda Hakim bin Hizam RA yang bertanya kepada Rasulullah SAW tentang menjual sesuatu yang tidak dimiliki:

سألتُ النبيَّ صلى الله عليه وسلَّم فقلتُ: يا رسولَ اللهِ، يأتيني الرجلُ فيسألني البيعَ ليس عندي أبيعُه منه ثم أبتاعُه له من السوقِ, قال: لا تبعْ ما ليس عندَك

Maksudnya: Aku bertanya kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, seorang lelaki datang kepadaku dan ingin membeli sesuatu yang tidak ada padaku, bolehkah aku beli dahulu dari pasar dan menjualnya kepadanya? Baginda bersabda: Jangan kamu menjual sesuatu yang tidak ada padamu. (Riwayat an-Nasai)

Hadis ini secara umum memberi gambaran bahawa short selling secara konvensional yang melibatkan penjualan aset yang tidak dimiliki secara fizikal adalah tidak dibenarkan dalam syariat.

 والله أعلم بالصواب

Sekian. Terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 22

message user image