Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam Ustaz,
Saya sedia maklum Isu Atomy itu Haram muncul sekitar tahun 2021 dengan jawapan sekiranya Mereka Terlibat dengan Kristinanisasi, wajib untuk kita (orang Islam) tidak bermuamalah dengan mereka.
Lalu, pihak Atomy Malaysia sudah memberi laluan Audit Kepatuhan Syariah dijalankan, dan selepas 1 Tahun, Mereka (Atomy Malaysia) Dapat Sijil Patuh syariah sejak Mac 2022 dan sehingga kini. (MS ISO 1900:2014)
Tapi isu Kristianisasi masih diputar hingga kini. Bahkan lebih teruk lagi apabila melibatkan cercaan di Sosial Media.
Lalu, Pihak syarikat Induk di Korea / Malaysia sudah mengeluarkan pekeliling tentang Syarikat tidak menggunakan dana untuk badan agama.
Saya Pening kepada pandangan mana saya harus pegang apabila Usahawan bertanya kepada saya.
Soalan saya: Bukan kah Panel Syariah itu badan yang tertinggi memantau dan mengiktiraf kepatuhan syariah sesebuah perniagaan supaya bebas dari syubhah terutama syarikat MLM dalam menentukan kesucian pendapatan ahli?
Mohon pandangan ustaz jawab sekali lagi isu ini yang nyata telah membuatkan perselisihan faham, pergaduhan berpanjangan dan tuduhan berat kpd mereka (org Islam) yang sertai Atomy sama seperti mengembangkan kristian.
Terima Kasih Ustaz.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, asal suatu perkara adalah harus sebagaimana kaedah fiqhiyyah:
Maksudnya: Asal pada sesuatu perkara adalah harus.
Hukum menjalankan perniagaan yang halal dan tidak bertentangan dengan hukum syarak adalah harus. Bagaimanapun apabila diketahui suatu perniagaan itu mempunyai hubungkait dengan penyaluran dana dalam usaha-usaha penyebaran agama Kristian, maka terdapat unsur syubhah di situ. Bersubahat atau bekerjasama dalam usaha penyebaran agama Kristian adalah dilarang. Firman Allah S.W.T dalam Surah al-Maidah ayat 2:
Maksudnya : dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
Bagi mengelakkan sebarang keraguan dan was-was adalah lebih baik sekiranya mengelakkan diri daripada terlibat dalam perniagaan ini.
Memang benar, tugas utama Panel Penasihat Syariah dalam sesebuah organisasi adalah sebagai pengawal selia dalaman yang memastikan setiap rantaian operasi, kontrak, dan agihan pendapatan tidak bercanggah dengan prinsip Syariat Islam. Keberadaan panel ini bertujuan untuk memelihara maslahat ummah dan memastikan ekonomi Muslim bebas daripada unsur-unsur yang diharamkan.
Namun begitu, dalam mendepani isu yang melibatkan khilaf (perbezaan pandangan) atau keraguan yang timbul daripada isu sampingan, setiap individu Muslim bertanggungjawab untuk membuat penilaian yang matang berdasarkan ilmu dan fakta. Setelah usaha mencari kebenaran (Tabayyun) dilakukan, masyarakat berhak membuat pilihan atas apa yang diyakini paling selamat bagi agama dan dunianya, manakala urusan selebihnya berserah kepada ketentuan Allah SWT.
Sebagai umat Islam, kita dituntut untuk sentiasa mencari kejelasan dalam setiap tindakan agar tidak terjerumus ke dalam perkara yang syubhah. Hal ini selaras dengan pesanan Baginda Nabi Muhammad SAW melalui hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hasan bin 'Ali bin Abi Thalib RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu. (Riwayat At-Tirmizi)
Sekian, terima kasih