Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, para ulama
Bismillah
Saya sedang bina alat menghantar Bitcoin dan saya caj 1sen untuk setiap transaksi.
Sekiranya penjenayah A guna alat saya untuk menghantar Bitcoin kepada penjenayah B untuk kegunaan haram, adakah 1sen yang saya peroleh tu dikira haram juga?
Adakah cukup untuk saya cuma letak "Terma dan syarat" kepada pengguna yang alat saya ni adalah alat utiliti neutral -- boleh digunakan untuk kebaikan atau keburukan, dan adalah tanggungjawab pengguna untuk guna alat ni untuk kebaikan sahaja?
Terima kasih luangkan masa untuk saya.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Secara umumnya, sebarang bentuk perniagaan atau aktiviti muamalat adalah diharuskan dari sudut syarak selagi mana ia tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip Syariah serta tidak bertentangan dengan undang-undang yang berkuat kuasa.
Hal ini berdasarkan kaedah fiqh yang masyhur:
Maksudnya: Asal hukum dalam muamalat adalah harus selagi tiada dalil yang menunjukkan kepada pengharaman.
Islam pada asasnya mengiktiraf kebebasan manusia untuk berurus niaga dan membangunkan sistem ekonomi selagi tidak wujud unsur yang dilarang seperti riba, gharar yang keterlaluan, penipuan, perjudian atau kezaliman.
Namun demikian, kebebasan tersebut terikat dengan larangan membantu kepada perkara dosa dan permusuhan sebagaimana firman Allah Ta‘ala dalam surah al-Maidah ayat 2:
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
Sehubungan itu, dalam konteks penyediaan alat penghantaran Bitcoin yang mengenakan caj perkhidmatan sebanyak 1 sen bagi setiap transaksi, hukum bayaran yang diperoleh bergantung kepada beberapa keadaan:
Jika alat tersebut bersifat utiliti neutral, boleh digunakan untuk tujuan yang harus atau haram, dan penyedia tidak mengetahui bahawa transaksi tertentu digunakan untuk jenayah, serta tiada niat untuk membantu perbuatan haram, maka bayaran yang diperoleh tidak dihukum haram secara automatik. Dalam keadaan ini, penyedia tidak dianggap membantu secara langsung kepada maksiat.
Namun, sekiranya terdapat pengetahuan yang jelas, atau sekurang-kurangnya sangkaan kuat bahawa sistem tersebut digunakan untuk tujuan jenayah, dan penyedia sistem tetap membenarkan tanpa sebarang langkah kawalan, maka keadaan ini boleh termasuk dalam kategori membantu kepada dosa yang dilarang oleh syarak. Dalam situasi tersebut, bayaran yang diperoleh menjadi syubhah atau boleh membawa kepada hukum haram.
Perlu juga difahami bahawa meletakkan “Terma dan Syarat” semata-mata bahawa sistem tersebut adalah utiliti neutral dan tanggungjawab terletak pada pengguna tidak memadai dari sudut syarak sekiranya tiada usaha munasabah untuk mencegah penyalahgunaan. Islam bukan sekadar melihat kepada pelepasan tanggungjawab secara teknikal, tetapi juga kepada realiti kesan dan peranan sebenar sesuatu pihak dalam sesuatu transaksi.
Kesimpulannya, selagi perniagaan tersebut tidak bertentangan dengan syarak dan undang-undang, serta tidak secara sedar atau dominan memudahkan aktiviti jenayah, maka caj perkhidmatan yang diperoleh adalah diharuskan. Namun, sekiranya wujud unsur pengetahuan, pembiaran atau penglibatan tidak langsung dalam memudahkan maksiat, maka ia boleh berubah hukum mengikut tahap keterlibatan tersebut.
Sekian, terima kasih.