BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, para ulama

Bismillah

Saya sedang bina sebuah laman sesawang di mana sesiapa saja boleh senaraikan pertandingan besertakan ganjaran untuk peserta yang berjaya, dan saya caj 1% kepada pemenang sebagai upah perkhidmatan sebab menyediakan sebuah platform untuk menghubungkan penyenarai pertandingan dan peserta pertandingan.

Tujuan saya untuk bina laman sesawang ni adalah untuk membantu mereka yang ada kemahiran untuk menjana pendapatan sampingan di dalam internet, contohnya melalui menyertai pertandingan seperti "Reka logo untuk kedai makanan haiwan saya dan logo terbaik akan menang RM 100" atau "Terjemahkan teks Bahasa Melayu berikut kepada Bahasa Mandarin, ganjaran: RM 50".

1) Masalah saya adalah sekiranya ada mereka yang senaraikan pertandingan yang haram (contoh: "Cuba permainan video judi saya untuk 1 jam dan beri maklumbalas, upah: RM 10") atau pertandingan di mana aktivitinya 'halal' tapi hasilnya digunakan untuk kegunaan haram (contoh: "Buat poster infografik untuk kedai arak saya, poster terbaik akan menang RM 500"), adakah caj 1% yang saya potong daripada pemenang dikira haram?

2) Adakah situasi saya sama seperti kilang pisau (... pisau boleh diguna untuk kebaikan--memasak, atau kejahatan--mencedera)? Sekiranya sama, adakah cukup untuk saya letak "Terma dan Syarat" untuk pengguna baca yang laman sesawang saya ni patut digunakan untuk pertandingan halal sahaja dan bukan untuk kegunaan haram, dan adalah tanggungjawab peserta untuk tidak menyertai pertandingan yang mencurigakan atau sah haram? Sekiranya situasi saya tidak sama seperti kilang pisau, apa yang saya patut lakukan untuk pastikan sumber hasil saya ini halal dan tidak haram? Adakah saya patut periksa setiap maklumat pertandingan satu per satu dan periksa setiap kerja yang perserta-peserta hantar? Kalau boleh, saya nak mengelak daripada tindakan memeriksa setiap maklumat sebab bagi saya ini seperti pergi setiap kedai makanan di luar negara yang tiada sistem sijil halal dan sahkan sekiranya bahan mereka sah halal, atau adakah mentaliti saya salah dalam hal ni? 

Nota: sekiranya tidak keberatan, tolong senaraikan bahan-bahan rujukan untuk saya belajar lebih mendalam mengenai isu saya.

Terima kasih luangkan masa untuk soalan saya.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Secara umumnya, pendapatan yang diperoleh daripada aktiviti menyediakan perkhidmatan pertandingan serta upah yang ditetapkan melalui sebuah laman sesawang bagi menghubungkan penyenarai dan peserta pertandingan adalah harus. Sebagai pemilik yang menguruskan perkhidmatan ini, adalah sebaiknya meletakkan terma dan syarat berikut bagi menjauhi perkara yang tidak baik dan memastikan pendapatan yang diperoleh adalah halal serta tidak bercampur dengan perkara syubhah. Antara terma dan syarat yang boleh dipertimbangkan sebagai syarat menggunakan perkhidmatan ini adalah seperti berikut:

  • Produk atau servis yang halal: Jenama yang dipromosikan atau dipertandingkan tidak melibatkan perkara haram seperti judi, arak, pelaburan patuh Syariah yang meragukan atau produk yang membahayakan kesihatan. 

  • Kejujuran dalam pertandingan: Pertandingan tiada unsur penipuan atau samar oleh pihak penganjur kepada peserta.

  • Cara penyampaian: Kandungan atau aktiviti pertandingan mestilah menjaga batas syarak seperti tidak mendedahkan aurat, tidak mengandungi unsur lucah, tidak menghina mana-mana pihak atau apa-apa perbuatan dan akhlak yang bertentangan dengan akhlak Islam

  • Mematuhi undang-undang yang ditetapkan oleh pihak berkuasa

Tindakan ini boleh menjadi kawalan awal pihak tuan terhadap aktiviti yang akan dibuat bagi menjauhi perkara yang dilarang oleh syarak. 

 والله أعلم بالصواب

Sekian. Terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 19

message user image