Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
1. Kedai emas besar contoh Tomei Wahcan dan sebagainya ada tawarkan Easy Payment Plan untuk pembelian barang kemas mengunakan credit card bank secara ansuran. Boleh saya tau ada kah benda ini dibenarkan islam ?
2. Saya ambil pembiayaan peribadi 10k untuk membeli emas. Adakah benda ini dibenarkan dalam islam ?
Terima Kasih.
Jawapan
Secara umumnya, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah membincangkan mengenai Parameter Pelaburan Emas. Antara keputusannya adalah:
Syarat Khusus Jual Beli Emas Yang Bercirikan Item Ribawi
1. Oleh kerana emas dan wang adalah dua item ribawi yang mempunyai illah yang sama, maka syarat tambahan bagi transaksi pembelian atau penjualan emas mestilah memenuhi syarat berikut:
i. Berlaku taqabudh (penyerahan) antara kedua-dua item yang terlibat dalam transaksi sebelum kedua-dua pihak bertransaksi berpisah daripada majlis akad.
ii. Jual beli emas hendaklah dijalankan secara lani, dan tidak boleh berlaku sebarang penangguhan.
2. Syarat-syarat tersebut adalah khas bagi emas yang bercirikan item ribawi, seperti emas jongkong dan syiling emas. Syarat ini tidak termasuk barang perhiasan emas kerana ia telah terkeluar daripada illah ribawi.
Oleh itu, merujuk kepada persoalan:
Boleh membeli emas perhiasan secara ansuran menggunakan kad kredit perbankan Islam.
Mengambil pembiayaan peribadi untuk membeli emas perhiasan adalah dibenarkan.
Sekian. Terima kasih.