Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wrt SS Mufti Selangor dan ahli jawatankuasa fatwa dan semua yang terlibat, selawat dan salam atas junjungan Nabi Muhammad ﷺ dan ke atas keluarga dan para sahabatnya dan yang mengikuti Baginda sehingga hari kiamat.
Persoalan saya berkaitan penggunaan kad WISE. Sebagai pengguna, di dalam aplikasi WISE itu sendiri menyatakan bahawa akaun pengguna adalah di bawah bank JPMorgan Chase Bank Berhad yang merupakan sebuah bank konvensional. Jadi saya ingin pastikan dengan SS Mufti tentang hukum penggunaannya kerana pada fatwa yang sebelum ini dikatakan harus, namun tiada tafsilan yang lebih mendalam berkaitan perkara ini kerana umum mengetahui bahawa haramnya penglibatan dengan bank konvensional atas dasar riba.
Terima kasih SS Mufti, Jazakumullah khaira
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Penggunaan Wise Card adalah melibatkan transaksi pertukaran mata wang dan pemindahan wang antarabangsa. Hukum syarak mengenai transaksi kewangan seperti ini perlu diteliti dari sudut riba (faedah), gharar (ketidakpastian), dan keadilan dalam pertukaran.
Secara umum, Islam mengharamkan riba, iaitu sebarang pertambahan atau keuntungan yang disyaratkan dalam transaksi pinjaman atau pertukaran mata wang yang tidak memenuhi syarat-syarat tertentu. Wise Card berfungsi sebagai platform untuk menukar mata wang pada kadar pertukaran pasaran sebenar (mid-market rate) dan mengenakan yuran perkhidmatan yang jelas.
Jika Wise Card hanya mengenakan yuran perkhidmatan yang tetap dan jelas untuk pertukaran mata wang dan pemindahan, tanpa melibatkan unsur faedah (riba) dalam pinjaman atau pertukaran mata wang yang tidak setara pada masa yang sama (riba al-fadl dan riba al-nasiah), maka ia cenderung kepada keharusan.
Namun, sekiranya telah dipastikan operasi bagi kad ini berasaskan kepada perbankan konvensional maka ia ia perlu dielakkan dan mencari alternatif yang patuh syarak.
Sekian, terima kasih.