Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Salam, saya ada pertanyaan mengenai solat jemaah. Hari ini saya memang rasa marah dan terkejut dengan sikap orang yang solat. Saya niat hendak solat jemaah dengan orang yang tengah solat. Ada 1 makmum masa itu. Saya sudah berdiri sebelah kiri makmum itu dan berniat untuk solat jemaah asar. Tetapi makmum tu tidak pun berganjak belakang sampai lah habis solat. Makmum itu memang perasan saya di sebelahnya. Jadi saya nak tanya boleh ke orang ini buat macam ini? Setahu saya, tidak batal solat kalau dia berganjak belakang supaya saya dapat solat sekali untuk membentuk saf.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, kemungkinan orang tersebut tidak tahu tatacaranya, walaupun perasan saudara datang. Jika demikian, saudara sebagai makmum kedua, hendaklah berada disebelah kiri imam. Setelah itu hendaklah imam ke hadapan, dan kedua-dua makmum merapatkan saf semula. Selesai solat maklumkan kepada orang tersebut dengan baik, supaya sama-sama ambil tahu jika berdepan dengan situasi yang sama lagi. Tatacara itu perlu juga difahami oleh imam. Bagaimanapun, solat berjemaahnya sah. Cuma kekurangan dari segi pahala sof (barisan). والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.