Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz/Ustazah
Saya ingin bertanyakan kepada pihak Ustaz. Apa hukumnya seorang isteri membelakangi suami berkenaan pinjaman peribadi (bank&koperasi) yang dibuat olehnya tanpa pengetahuan seorang suami. Saya sebagai suami bekerja dan isteri iuga bekerja. Ikatan perkahwin pada 2017 ketika itu isteri hanya ada pinjaman lebih kurang 60k (kereta&perkahwinan). Saya dah isteri selalu bergaduh berkenaan duit isteri selalu buat pinjaman dari tahun 2019-2026 dan kini bayaran bulanan sebanyak rm1800 bersamaan pinjaman (Rm170000). Untuk makluman, perbelanjaan mengurus rumah dan kesihatan semua ditanggung oleh saya. Isteri hanya membayar pengasuh anak sebanyak rm400. Baru-baru ini, saya sudah tidak mampu untuk menanggung bil elektrik dan bil air iaitu sebanyak rm300. Saya telah meminta isteri membantu untuk membayar bil tersebut tetapi saya terkejut kerana dapat surat notis tertunggak dari TNB sebanyak rm700 dan tertunggak bil air sebanyak rm388. Saya bertanyakan kepada isteri kenapa tak bayar bil dan terdapat tunggakan sebanayk rm1100 dan isteri beritahu tiada duit. Apabila saya bertanya kepada isteri kenapa pinjaman peribadi bayaran sehingga rm1800, isteri hanya menjawab hantar ke kampung. Persoalan saya, isteri membuat pinjaman sebanayak rm170000 dan untuk keluarga kami lebih kurang Rm60000 dan selebihnya Rm110000 untuk emak dan ayahnya. Isteri membuat pinjaman tanpa bertanya kepada saya untuk tujuan apa menghantar duit sebanyak itu ke kampung sedangkan di rumah ada 4 orang anak dan satu anak OKU, isteri tidak ada membeli atau membelanjakan duit untuk pendidikan dan kesihatan. Hanya saya seorang yang menanggung perbelanjaan. Saya berasa tidak berpuas hati isteri buat pinjaman sebanyak itu untuk hantar ke kampung sedangkan kami ada 4 orang anak yang masih memerlukan duit untuk perbelanjaan mereka dan seorang oku untuk perbelanjaan pemulihan. Isteri telah membelakangi saya dan sanggup memikul hutang sebanyak itu hanya untuk membantu keluarga sedangkan saya sendiri sudah tidak mampu untuk membayar bil elektrik dan air. Apa yang harus saya buat? Saya juga dapat tahu yang emak ayah mertua tinggal bersama kakak isteri yang mempunya anak seramai 5 orang. Mereka sering meminta duit kepada isteri saya dan isteri saya tidak bertanya atau meminta izin dari saya terlebih dahulu. Saya menjadi buntu disebabkan isteri lebihkan kepada keluarganya. Keluarga isteri saya mempunyai tanah yang banyak dan pajak kepada kerajaan untuk penanaman sawit dan setiap tahun mereka mendapat puluhan ribu. Emak mertua saya mempunyai rantai emas, gelang emas dan termasuk juga kakak nya mempunyai perhiasan emas sedangkan isteri saya menanggung beban hutang yang banyak untuk mereka dan semua perhiasan emas serta hantaran kahwin Cincinnati emas serta gelang emas isteri telah gadaikan. Apa yang perlu saya buat ustaz. Isteri bekerja tetapi tidak membantu saya menguruskan perbelanjaan kami sekeluarga yang mempunyai 4 orang anak dan 1 OKU. Bila tanya tentang duit jawapannya mudah tiada duit. Mohon jawapan dari pihak Ustaz segera.
Jawapan
Secara umumnya, suami wajib menyediakan nafkah kepada isteri dan anak-anaknya meliputi makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan keperluan asas mereka. Dalam hal ini, isteri berhak sepenuhnya kepada hartanya sendiri. Namun begitu, dalam urusan rumah tangga memerlukan kepada perbincangan dan toleransi antara suami dan isteri meliputi semua perkara khususnya isu kewangan yang merupakan salah satu perkara penting demi keharmonian dan kesejahteraan hidup bekeluarga.
Hadis yang diriwayatkan daripada Jabir R.A, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Mulakan nafaqah dengan dirimu. Jika berbaki, berikanlah kepada ahli keluargamu. Jika masih berbaki, berikanlah kepada saudara-maramu yang terdekat dan jika masih berbaki lagi, berikanlah kepada mereka dan seterusnya.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan kepada hadis ini, keutamaan diberikan nafkah adalah kepada keluarga sendiri. Walaupun isteri mempunyai hak terhadap hartanya sendiri, adalah sebaiknya bagi seorang isteri memaklumkan kepada suami tindakannya untuk membuat pinjaman bank bagi membantu keluarga sebagai salah satu perbuatan mentaati dan menghormati suami selagi mana tidak melanggar hukum syarak. Tindakan memaklumkan perbuatan ini dianggap sebagai suatu perbincangan sebelum memutuskan untuk melakukan sesuatu perkara. Ia mengambil kira keperluan yang diperlukan oleh keluarga supaya tidak menjejaskan nafkah anak-anak, bebanan tambahan atau mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga sendiri.
Mengenai urusan keluarga isteri, penyelesaian terbaik adalah pihak isteri berbincang dengan tenang bersama keluarganya untuk mencari jalan yang paling tidak membebankan sesiapa. Ia mesti dilakukan supaya ikatan kekeluargaan tetap terpelihara tanpa pengabaian dan penganiayaan.
Sekian. Terima kasih.