BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

SUBJEK: PERMOHONAN PENJELASAN HUKUM AKIDAH BERKAITAN ELEMEN DALAM PERMAINAN VIDEO (GENSHIN IMPACT)

Assalamualaikum w.b.t. Sahibus Samahah Tuan Mufti/Panel Pakar e-Musykil,

Saya ingin memohon pencerahan mengenai hukum dan status akidah berkaitan satu situasi dalam permainan video "Genshin Impact" Keluaran syarikat china.

 

Konteks Isu:

Di dalam satu kawasan padang pasir dalam permainan tersebut, terdapat watak sampingan bernama "Rahman" (Nama khusus untuk Allah). Watak ini digambarkan sebagai pengikut yang menyembah (Raja Gurun). Walaupun pihak pengembang mungkin tidak berniat menghina atau menyalahgunakan nama tersebut, mungkin mereka tersilap mengambil referensi untuk nama karakter di gurun pasir, namun penggunaan nama tersebut untuk watak yang melakukan syirik adalah sangat sensitif.

 

Persoalan Saya:

Hukum Dukungan Secara Tidak Langsung: Adakah dengan terus bermain, saya dianggap mendukung dan menyumbang kepada populariti permainan ini? Secara teknis, keberadaan pemain (walaupun tidak membeli item) menyumbang kepada statistik Active Users yang menguntungkan syarikat tersebut. Adakah ini dikira sebagai bersubahat dalam penghinaan terhadap nama Allah? Yang artinya adalah saya juga menghina Allah? Walau niat saya bermain hanya karena menikmati penjelajahan dalam game dan pihak pengembangan juga tidak bermaksud menghina (tdk sengaja). 

 

tatus Akidah: Adakah tindakan terus bermain dalam keadaan sedar akan adanya penghinaan yang tidak di sengaja ini sambil tetap mengingkari hal tersebut di dalam hati tetap menyebabkan seorang Muslim jatuh Murtad? 

 

Mohon penjelasan Mufti negeri selangor agar kami para pemain Muslim tidak terjerumus ke dalam perkara yang merosakkan iman hanya kerana sebuah hiburan.

Terima kasih. Wassalam.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Rahman atau al-Rahman sememangnya salah satu nama Allah SWT yang mesti dimuliakan. Walaupun game berkenaan berkemungkinan tidak berniat untuk menghina, akan tetapi penyalahgunaan nama-nama Allah SWT adalah satu bentuk penghinaan walaupun tanpa niat menghina.

Bagi menjawab soalan yang diajukan, hukum bermain game tersebut adalah haram kerana dikira sebagai bersubahat dalam perkara mungkar. Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

 

Walaupun begitu, terdapat perincian berkaitan akidah pemain yang masih bermain game seperti ini. Pertama adalah tidak kufur tetapi masih haram bermain game ini kerana bersubahat dalam perkara mungkar. Situasi pertama ini bagi mereka yang sekadar bermain tanpa ada niat atau tujuan untuk menghina nama-nama Allah SWT atau Islam. Kedua adalah boleh jatuh kufur sekiranya bermain game ini dengan tujuan untuk menghina atau meredai penghinaan terhadap nama Allah SWT.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

                                                                                                                           


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 35

message user image