Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum wbt. Saya musykil dengan suatu senario yang berlaku di sebuah surau di Bandar Saujana Putra. Selepas solat maghrib, ahli jemaah membuat bulatan dan membaca surah Yaasin beramai-ramai yang diketuai oleh seorang imam. Sejerus selepas itu, mereka membaca surah al-Kahfi, tetapi hanya membaca 10 ayat awal dan 10 ayat akhir dari surah tersebut. Adakah amalan sebegini disarankan dan mengikut sunnah Rasulullah s.a.w?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, membaca surah Yasin adalah besar pahalanya kerana ianya termasuk dalam perintah yang umum dalam Islam, anjuran membaca al-Quran. Hadith yang diriwayatkan daripada Abi Umamah al-Bahili RA katanya, saya mendengar Rasulullah SAW bersabda : اقرءوا القران فإنه يأتى يوم القيامة شفيعا لأصحابه Maksudnya : “Bacalah kamu sekalian akan al-Quran kerana ia akan datang pada hari kiamat nanti sebagai pemberi syafaat bagi orang-orang yang suka membacanya” (Riwayat Muslim) Begitu juga dengan dalil yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda : وما اجتمع قوم في بيت من بيوت الله يتلون كتاب الله ويتدارسونه بينهم إلا نزلت عليهم السكينة وغشيتهم الرحمة وحفتهم الملائكة وذكرهم الله فيمن عنده Maksudnya : “Tidaklah berkumpul satu kaum di salah satu rumah Allah (masjid) sambil membaca al-Quran dan saling bertadarus bersama-sama, maka akan turun ketenangan atas mereka dan rahmat Allah akan meliputi mereka dan para malaikat akan melindungi mereka dan Allah menyebut mereka dikalangan makhluk-makhluk yang berada di sisiNya” (Riwayat Muslim) Oleh itu, amalan membaca al-Quran adalah dituntut dalam Islam dan ianya mengikut sunnah Rasulullah SAW. Tidak menjadi kesalahan dalam melaksanakan tuntutan tersebut melalui pelbagai kaedah atau cara. Berkenaan membaca 10 ayat terawal dan terakhir daripada surah al-Kahfi, ada hadith yang diriwayatkan daripada Abu Darda’ RA katanya Nabi SAW bersabda : من حفظ عشر ﺁيات من اول سورة الكهف عصم من الدجّال Maksudnya : “Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah Dajjal” (Riwayat Muslim) Daripada Abu Qatadah RA dengan sanad yang sama berkata : شعبة من ﺁخر الكهف Maksudnya : “Begitu juga ayat-ayat penghabisan surah al-Kahfi” (Riwayat Muslim) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.