BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

assalamualaikum, saya selalu was-was pasal najis sehingga menganggu kehidupan harian. Setiap benda saya jadi takut kalau perkara tersebut najis. Soalan pertama saya, dekat kawasan rumah saya ada laluan yg ada najis burung kering dan tempat tu kawasan laluan nak ulang-alik jadi mesti akan kami pijak jalan tu persoalan saya kalau la kawasan najis tu kering cuma kalau kasut saya basah sikit sahaja dan saya tengok dekat kasut xde pon kesan najis walaupun sudah terpijak kawasan tersebut ...jadi hukum macam mana ust? saya nak tahu sekarang jadi najis ke x? sbb sy rasa cam kawasan rumah tu semua najis sbb kan dh ramai org pijak sehingga kalau kaki sentih sikit dkt jalan mesti saya rasa nak basuh kaki sbb najis sbb kaki mesti berpeluh jadi sy takut berpindah najis dan perkara tersebut menganggu saya sbb selagi tak basuh saya rasa semua kawasan yg saya pijak guna kaki tu jadi najis........

soalan kedua , saya tgh basuh sesuatu dekat sinki dan air terpecik dekat rak basuh pinggan tapi ust saya tak ingat saya basuh apa dan saya rasa air tu kotor sbb saya tak ingat saya basuh ayam atau perkakas rumah sehingga air tu saya rasa najis jadi ada satu hari tu saya buang rak pinggan tu tapi sbb kan rak tu saya kotor dan masa dh buang dalam tong sampah ada minyak mengalir dr plastik sampah tu sbb saya buang jugak brg2 lain dlm plastik tu dan tumpah jadi ust kan rak tu sy rasa kotor minyak pulak tumpah adakah tumpahan minyak tu jadi najis? pastu saya dah lap tapi masih berminyak saya tak tahu la ust pastu ada kawasan yg saya xsempat lap pastu org dh lalu lalang dllm rumah.....sy jadi risau takut satu kawasan rumah tu dh bernajis....ust boleh bagitau tak hukum semua soalan saya tu adakah mmg najis atau saya yg kurang ilmu ? perkara tersebut sangat menjejaskan kehidupan harian...sy harap ust jawab situasi saya dulu najis ke x baru bagi penjelasan detail....saya malu nak tanya tapi perlu tanya sebab dh menjejaskan kehidupan sy 

 

 

Satu lagi hari tu jerawat pecah yg saya pernah belajar jerawat pin najis and masa tu jerawat dh kering cuma kulit saya berminyak dan ada pakaian yg kena dekat bekas jerawat tapikan kulit sy masa tu berminyak adakah pakaian yg kena tu dikira najis? 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Dalam Islam, agama itu mudah dan tidak menyusahkan. Puan perlu pegang satu kunci utama berdasarkan kaedah Fiqh yang menyatakan:

 الأَصْلُ بَقَاءُ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ

Maksudnya: "Asal bagi sesuatu adalah kekal atas apa yang ia sedia ada, sehingga dibuktikan dengan yakin akan perubahannya."

Merujuk kepada persoalan yang diajukan,

1) Najis Burung di Laluan Rumah

Keadaan tersebut tidak dianggap najis dan tidak perlu membasuh kaki atau lantai rumah.

Hal ini kerana najis burung yang telah kering tidak lagi berpindah. Jika kasut puan hanya sedikit basah dan tidak terdapat sebarang tanda najis seperti warna atau bau najis burung, maka najis tersebut dihukumkan tidak berpindah ke kasut. Peluh pada kaki juga tidak memadai untuk memindahkan najis yang telah kering, kecuali jika kaki benar-benar basah sehingga kelihatan dengan jelas najis itu melekat. Perasaan bahawa “semua kawasan menjadi najis” adalah kesan was-was dan bukan hukum syarak. Sehubungan itu, menghukumkan sesuatu sebagai najis berdasarkan sangkaan semata-mata bercanggah dengan kaedah fiqh yang menyatakan:

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan(syak). 

Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu tidak bernajis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka kekal bersih dan suci.

2) Percikan Air Sinki & Tumpahan Minyak

Keadaan tersebut tidak dianggap najis.

Hal ini kerana air di sinki tidak dihukumkan najis selagi mana tidak terdapat keyakinan bahawa ia terkena najis yang sebenar. Jika puan tidak mengingati sama ada yang dibasuh itu ayam atau sekadar perkakas biasa, maka hukum asal bagi air tersebut adalah suci. Begitu juga dengan rak pinggan; asalnya ia adalah suci, dan ia kekal suci selagimana puan tidak melihat sendiri wujudnya najis yang jelas seperti darah ayam atau kotoran yang sahih sifatnya sebagai najis.

Minyak tersebut sendiri bukan najis. Walaupun ia mengalir keluar daripada plastik sampah, ia hanyalah kotoran biasa seperti tanah atau habuk, dan tidak termasuk dalam kategori najis yang membatalkan solat. Oleh itu, puan tidak perlu bimbang jika ada orang yang melalui kawasan tersebut. Memadai sekadar membersihkannya supaya tidak licin dan demi menjaga kebersihan umum.

Manakala jerawat bukanlah najis. Sekiranya terdapat darah yang keluar yang biasanya sedikit adalah dimaafkan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 50

message user image