Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum buat panel soal jawab kemusykilan agama Jabatan Mufti Selangor , saya ada dua sahaja soalan yang inginkan pencerahan dan jawapan berkaitan dengan pusaka/mawarith/faraid. Sebelum saya kemukakan soalan, saya berikan situasi yang sedang berlaku.
Situasi : Saya dan ayah tinggal di rumah pusaka (di atas tanah pusaka) semenjak 2018 bersama nenek (ibu kandung ayah) dan nenek telah meninggal pada Mac/2025 dalam masa yang sama adik lelaki bongsu kepada ayah saya juga ada tinggal bersama. Namun semenjak beberapa bulan kebelakangan ini hampir 5-6bulan , adik ayah telah membawa kawan lelaki tinggal bersama di rumah tersebut. Untuk makluman bil utiliti ditanggung pihak keluarga saya (ayah dan saya) dan juga barangan masakkan juga pihak saya dan ayah yang mengeluarkan duit. Rumah pusaka (di atas tanah pusaka) ini adalah masih geran bernama atuk (bapa kandung kepada ayah saya). Ayah saya mempunyai 10 orang adik beradik yang masih hidup. Setahu saya, saya dan ayah adalah waris yang sah. Jadi kini, tidak ada yang berpihak kepada kami (waris) kami telah mencari rumah sewa untuk keluar dari rumah pusaka. Tambahan juga, orang luar tersebut adalah banduan dan mempunyai latar belakang tidak jelas dan menjadi punca perbalahan seluruh adik beradik sehinggakan kami terpaksa beralah untuk keluar dari rumah pusaka tersebut.
Soalan :
1. Apa hukum orang luar (kawan kepada adik lelaki bongsu ayah) yang duduk di rumah tersebut tanpa izin dan menggunakan segala manfaat tanpa meminta izin hingga kan makanan belian kami di makan tanpa izin ? Apabila ayah cuba memberitahu dengan adik-beradik yang lain, seolah-olah mereka menerima orang luar duduk di rumah tersebut sedangkan yang membayar segala bil dan makanan adalah saya dan ayah semenjak 2018 lagi. Sedangkan hak rumah pusakan tersebut adalah hak 10 adik beradik yang masih hidup.
2. Arwah nenek pernah menyatakan rumah pusaka tersebut untuk diberi kepada anak lelaki bongsunya, namun setahu saya hibah itu tidak sah kerana rumah tersebut hak mutlak nenek. Boleh ustaz huraikan lagi perkaitan ini?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, dalam Islam, hukum menduduki rumah pusaka tanpa izin daripada semua waris yang sah adalah haram dan dianggap mengambil harta secara batil. Berdasarkan situasi yang dinyatakan, walaupun ayah tuan, tuan dan juga adik bongsu ayah tuan pernah hidup bersama arwah ibu (nenek tuan) ketika masih hidup kerana menjaganya sebelum ini di rumah pusaka itu, namun perlu mendapat persetujuan terlebih dahulu dari waris yang lain untuk menduduki atau menggunakan rumah tersebut. Sekiranya waris lain bersetuju, maka bolehlah ayah tuan, tuan dan adik bongsu ayah tuan menduduki rumah pusaka tersebut. Begitu juga menjemput orang luar (selain waris) untuk menduduki sekali ke dalam rumah pusaka itu, sekiranya waris-waris lain bersetuju dan membenarkan, maka orang tersebut boleh menduduki rumah itu.
Merujuk kepada persoalan berikutnya, pemberian rumah pusaka antara arwah nenek kepada anak lelaki bongsunya ketika arwah nenek masih hidup, adalah tidak sah di sisi syarak kerana rumah pusaka tersebut bukan hak milik mutlak nenek, sebaliknya ianya adalah hak milik bersama semua waris yang lain atas kematian arwah ayah kepada ayah tuan (arwah datuk).
Oleh yang demikian, dinasihatkan kepada pihak tuan agar menyegerakan proses pembahagian harta pusaka arwah ayah kepada ayah tuan (arwah datuk) kerana terdapat hak waris-waris lain yang berhak ke atas rumah pusaka tersebut dan bagi mengelakkan dari termakan harta secara batil.
Sekian, terima kasih.