BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalammualaikum Tuan,

Saya ada soalan mengenai pembahagian faraid untuk waris keluarga saya.

Kami ada sebuah rumah kampung pusaka orang tua kami. Kedua² orang tua kami sudah lama meninggal dunia. Rumah ini baru dijual pada harga RM200,000. Waris² untuk rumah tersebut ialah:-

(1) Ibu tiri masih ada, telah berkahwin lain setelah bapa saya meninggal, tidak mempunyai anak atau anak angkat

(2) Abang saya telah meninggal dunia pada bulan Disember 2025 (masih ada seorang isteri, 3 anak lelaki, 2 orang anak perempuan dan tiada anak angkat.)

(3) 2 orang adik lelaki telah meninggal pada tahun 2021 & 2023 keduanya tidak berkahwin, tiada anak angkat.

(3) 1 orang adik perempuan (masih ada).

(4) Saya sendiri.

 

SOALANNYA:- 

-Macamana pembahagian secara faraid untuk wang tersebut antara kami adik beradik.

-Untuk bayaran Zakat, adakah dibayar sebelum pembahagian, ataupun secara individu selepas pembahagian.

Harapan kami agar pihak Tuan dapat memberi maklum balas mengenai perkara ini. Kerjasama Tuan sangat² kami hargai.

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد 

Merujuk kepada fakta kes dan situasi yang dikemukakan, pembahagian harta pusaka yang melibatkan munasakhat yang bermaksud sebahagian daripada waris yang menerima harta pusaka telah meninggal dunia sebelum harta pusaka seseorang si mati dibahagikan kepadanya dan bahagiannya dipindahkan kepada waris lain, dalam erti kata lain ianya dikenali sebagai kematian berlapis.

Sebagaimana merujuk fakta kes yang dikemukakan, berikut merupakan senarai waris-waris yang layak ke atas harta pusaka arwah ayah:-

Kematian 1 (Arwah ayah):

Bil. Waris yang layak
1 Isteri (Ibu tiri)
2 Anak lelaki 1 (Meninggal 2021)
3 Anak lelaki 2 (Meninggal 2023)
4 Anak lelaki 3 (Meninggal 2025)
5 Anak lelaki 4 (tuan sendiri)
6 Anak perempuan 

Kematian 2 (Arwah abang yang telah meninggal pada 2021):

Bil. Waris yang layak
1 Anak lelaki 2 (Meninggal 2023)
2 Anak lelaki 3 (Meninggal 2025)
3 Anak lelaki 4 (tuan sendiri)
4 Anak perempuan 

Kematian 3 (Arwah abang yang telah meninggal pada 2023):

Bil. Waris yang layak
1 Anak lelaki 3 (Meninggal 2025)
2 Anak lelaki 4 (tuan sendiri)
3 Anak perempuan 

Kematian 4 (Arwah abang yang telah meninggal pada 2025):

Bil. Waris yang layak
1 Menantu perempuan kepada arwah ayah (isteri kepada arwah abang)
2 3 cucu lelaki (anak lelaki kepada arwah abang)
3 2 cucu perempuan (anak perempuan kepada arwah abang)

Oleh yang demikian, merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, waris yang berhak ke atas harta pusaka arwah ayah adalah sebagaimana berikut:-

  1. Isteri kepada arwah ayah (ibu tiri);
  2. Menantu perempuan kepada arwah ayah (isteri kepada arwah abang yang meninggal pada Disember 2025);
  3. 3 cucu lelaki dan 2 cucu perempuan kepada arwah ayah (anak lelaki dan anak perempuan kepada arwah abang yang meninggal pada Disember 2025);
  4. Anak perempuan (adik perempuan kepada tuan); dan
  5. Anak lelaki yang masih hidup (tuan sendiri).

Walau bagaimanapun, senarai pembahagian faraid kepada waris-waris yang dinyatakan di atas adalah hanyalah berdasarkan kepada fakta yang diberikan oleh pihak tuan. Bagi mendapatkan pengiraan dengan lebih tepat, disarankan kepada pihak tuan agar mendapatkan perintah faraid di Mahkamah Syariah. Sila rujuk ke Bahagian Pentadbiran Harta Pusaka di Majlis Agama Islam Negeri untuk mendapatkan panduan dan pandangan.

Seterusnya, merujuk kepada persoalan tuan yang berikutnya, harta pusaka yang belum dibahagikan secara faraid kepada waris-waris tidak perlu dizakatkan kerana status pemilikan harta yang masih belum sempurna. Sekiranya pembahagian harta sudah selesai dilakukan kepada waris-waris, maka barulah waris-waris wajib mengeluarkan zakat daripada keseluruhan harta dan hanya dikenakan untuk tahun semasa sahaja tanpa perlu menunggu haul.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 22

message user image