Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum tuan Saya ingin bertanya mengenai soal perkahwinan. Saya bakal berkahwin dengan seorang janda yang mempunyai dua orang anak,1 lelaki dan 1 perempuan. Anak yang sulung adalah perempuan dan dikategorikan sebagai anak tidak saf taraf dari segi undang-undang di malaysia mahupun undang-undang syariah. Anak yang kedua pula dilahirkan selepas perkahwinan beliau dengan bekas suami yang juga ayah kepada anak pertama yang tidak saf taraf berkenaan. Masalah lain yang timbul adalah perkahwinan mereka dibuat di negara Thailand dan sehingga kini tidak berdaftar dengan mana-mana pejabat agama di malaysia. Jadi sekarang suaminya itu sudah meninggalkan tanggungjawab dan menghilangkan diri hampir 7 bulan. Jadi, saya berharap pihak tuan dapat membantu saya dengan penerangan yang jelas bagaimana cara yang perlu saya lakukan untuk menyelesaikan masalah ini kerana saya berniat untuk memperisterikan wanita itu dan saya juga tidak mahu masa depan anak-anak beliau kucar kacir apabila melibatkan soal pendidikan dan sebagainya pada masa akan datang. Sekian, terima kasih..
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, menurut peraturan sedia ada, tuan bebas mengahwini perempuan tersebut atas statusnya sebagai seorang janda. Walau bagaimanapun, pernikahan dan perceraian perempuan tersebut sebelum ini hendaklah disahkan terlebih dahulu oleh Mahkamah Syariah dan didaftarkan di Pejabat Agama Islam Daerah yang berdekatan tempat tinggal. Untuk penjelasan lanjut, tuan juga boleh merujuk terus ke Bahagian Undang-undang Keluarga, Jabatan Agama Islam Negeri berkenaan prosedur yang ditetapkan bagi negeri. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.