BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya tentang haid, saya berumur 19 tahun dan saya masih was was sama ada darah haid saya sudah berhenti atau tidak, kebiasaanya darah yang keluar dan nampak nyata di pad selalunya 6 hari, tetapi hari ke 7 pada waktu tengah hari, jika saya masukkan jari ke dalam faraj untuk mengecek masih ada darah, jadi perlu ke saya mandi wajib sebab saya selalu cek macamtu, kadang kadang sampai hari ke 14 masih sama, cuma tiada kesan di pad, saya kena masukkan jari ke faraj baru nampak ada darah tu, jadi saya was was saya kena mandi wajib atau tidak, boleh solat atau tak, sebab saya tanya ke chatgpt dia beritahu bahawa saya boleh solat kerana darah tidak keluar secara nyata di pad, dan tiada kesan spotting dan sebaliknya..semoga boleh menjwab soalan ini, terima kasih banyak banyak


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Secara umumnya, sebanyak-banyak tempoh haid adalah 15 hari 15 malam. Manakala untuk mengetahui tanda suci atau alamat suci daripada haid adalah dengan memastikan perkara berikut:

1) Kering daripada darah iaitu apabila seseorang wanita memasukkan kapas ke dalam farajnya, warna kapas itu putih bersih setelah dikeluarkan tanpa ada kesan darah dan juga tanpa ada cecair putih. 

2) Keluar cecair putih. Dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah menjelaskan:

‌الطُّهْرُ ‌مِنَ ‌الْحَيْضِ يَتَحَقَّقُ بِأَحَدِ أَمْرَيْنِ، إِمَّا انْقِطَاعِ الدَّمِ، أَوْ رُؤْيَةِ الْقَصَّةِ. وَالْمَقْصُودُ بِانْقِطَاعِ الدَّمِ الْجَفَافُ بِحَيْثُ تَخْرُجُ الْخِرْقَةُ غَيْرَ مُلَوَّثَةٍ بِدَمٍ، أَوْ كُدْرَةٍ، أَوْ صُفْرَةٍ

Maksudnya: Suci daripada haid itu tercapai dengan salah satu daripada dua perkara iaitu berhenti darah atau melihat ada cecair putih. Dimaksudkan dengan berhenti darah ialah kering daripada darah, iaitu kapas yang dikeluarkan (dari faraj) tidak tercemar dengan darah, warna keruh atau kuning. 

Merujuk kepada persoalan, darah yang tidak kelihatan secara nyata di pad, namun masih ada di dalam faraj ketika memeriksa dengan jari atau kapas dikenali sebagai fatrah iaitu situasi darah tidak mengalir keluar, akan tetapi darah masih ada dalam faraj. Oleh itu, tempoh fatrah ini masih lagi dikira sebagai tempoh haid (dalam tempoh maksimum haid) menurut ulama mazhab Shafi’i. Jadi, puan tidak boleh mandi wajib dan solat selagi masih dalam tempoh haid. Daripada Ummi ‘Alqamah:

وَكُنَّ نِسَاءٌ يَبْعَثْنَ إِلَى عَائِشَةَ بِالدُّرَجَةِ فِيهَا الْكُرْسُفُ فِيهِ الصُّفْرَةُ، فَتَقُولُ: لَا تَعْجَلْنَ حَتَّى تَرَيْنَ الْقَصَّةَ الْبَيْضَاءَ، تريد بذلك الطهر من الحيضة

Maksudnya: Dahulu para wanita menghantar kepada Aisyah bekas berisi kapas yang terdapat padanya kesan kekuningan. Maka beliau berkata: Janganlah kamu tergesa-gesa sehingga kamu melihat bersih (cecair putih). Beliau maksudnya dengan itu sebagai suci daripada haid. 

Hendaklah dipastikan terlebih dahulu kering darah atau bersih daripada haid barulah mandi wajib dan solat jika ia masih dalam tempoh maksimum haid. 

 والله أعلم بالصواب

Sekian. Terima kasih. 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 37

message user image