BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, tuan/puan. Saya ada soalan yang ingin ditujukan kepada tuan/puan.Saya sedang memperbaiki kualiti solat saya seiring dengan qada solat sejak 2 hari lalu. Saya memulakan proses penambahbaikan tersebut mulai dengan bacaan al-Fatihah melalui video di YouTube dan beberapa website panduan solat di Internet. Selesai saya melakukan solat fardhu asar dan qada solat tadi, tanpa sedar, saya mendapati saya salah menyebut huruf 'dal' dengan huruf 'dhod' dalam surah al-Fatihah, ayat 6, apabila saya melakukan semakan bacaan saya semula. Kesalahan ini menyebabkan saya ragu-ragu dengan status sah solat saya. Hal ini juga membuat kan saya ragu-ragu dengan penyebutan saya pada solat fardhu dan solat qada yang sudah dilakukan dalam tempoh masa ini. Adakah perlu saya qada solat-solat tersebut?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Membaca surah al-Fatihah adalah salah satu rukun solat. Jadi wajib untuk kita membacanya berserta makhraj dan tajwid yang betul. Wajib untuk kita menjaga bacaan surah al-Fatihah pada setiap huruf agar tidak berkurang atau tertukar. Wajib juga kita jaga bacaan syaddah dan juga panjang pendek harakat surah al-Fatihah serta menyebut huruf menepati sifat makhrajnya.

Bagi menjawab soalan yang diajukan, kesalahan tajwid seperti bacaan mad (panjang pendek), ghunnah (dengung) ataupun kesalahan-kesalahan tajwid yang lain, serta kesalahan makhraj huruf bukanlah kesalahan yang dapat membatalkan solat dan kesalahan ini disebut sebagai Lahn al-Khafiy (kesalahan yang tersembunyi). Adapun bacaan yang membatalkan solat adalah bacaan yang boleh merubah makna sesuatu ayat seperti menukar baris ayat, merubah huruf, menambah huruf dan mentasydidkan huruf yang tidak bertasydid dan sebaliknya. Kesalahan ini dikategorikan sebagai Lahn al-Jaliy (kesalahan yang jelas).

Oleh demikian, solat masih sah tetapi telah mengurangkan pahala solat kerana tidak membaca dengan bacaan yang sempurna. Justeru, saudara perlulah sentiasa belajar dan memperbaiki bacaan al-Quran dari semasa ke semasa bersama guru dengan mereka yang benar-benar berkelayakan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 38

message user image