Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, mohon pandangan.
1. Ayah saya ada penyakit kerap kencing, kencing tak lawas, lupa (alzheimer) dan sedikit nyanyuk. Kesukaran dia adalah ketika hendak melaksanakan solat jumaat. Sepanjang khutbah dia ke tandas beberapa kali. Kadang sertai solat dah pertengahan atau hujung. Apakah hukum solat jumaat atas dia?
2. Oleh kerana ayah saya lupa (alzheimer ) dan sedikit nyanyuk (dementia) dia tidak mampu pergi tandas sedirian. Saya terpaksa menemani. Maka saya tak dapat dengar khutbah jumaat dengan sempurna. Dan terpaksa bercakap untuk guide ayah saya. Apakah ada keringanan untuk saya?
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
1) Solat Jumaat diwajibkan kepada umat Islam mengerjakannya yang memenuhi tujuh syarat berikut, iaitu:
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 286:
Maksudnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.
Begitu juga, firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 78:
Maksudnya: Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.
Justeru, solat Jumaat adalah wajib bagi setiap Muslim lelaki yang mukallaf (baligh dan berakal), merdeka, bermukim, dan tidak mempunyai keuzuran syar'i. Keuzuran syar'i yang membolehkan seseorang meninggalkan solat Jumaat termasuklah sakit yang menyukarkan untuk hadir atau menunaikan solat dengan sempurna.
Dalam kes ayah tuan, masalah kerap kencing dan kencing tidak lawas, ditambah dengan Alzheimer dan nyanyuk, boleh dikategorikan sebagai keuzuran. Keadaan ini menyukarkan beliau untuk kekal dalam keadaan suci dan khusyuk sepanjang solat Jumaat, apatah lagi sepanjang khutbah. Jika beliau terpaksa berulang-alik ke tandas beberapa kali, ini menunjukkan kesukaran yang nyata.
2) Majoriti fuqaha berpendapat bahawa penjaga orang sakit termasuk dalam golongan yang diberi keuzuran untuk tidak menghadiri solat Jumaat dan solat berjemaah. Ini kerana menjaga orang sakit adalah satu tanggungjawab yang penting dan boleh menyebabkan kesukaran jika ditinggalkan. Berdasarkan kitab al-Mausu'ah al-Kuwaitiyyah menyebutkan:
Maksudnya: Majoriti fuqaha berpendapat bahawa penjaga orang sakit disamakan dengan orang sakit dalam hal tidak menghadiri solat Jumaat dan solat berjemaah, dan mereka berbeza pendapat dalam perinciannya.
Justeru, tuan diberi keringanan syar'i untuk tidak dapat menunaikan solat Jumaat dengan sempurna disebabkan oleh tanggungjawab anda menjaga ayah yang sakit dan memerlukan perhatian berterusan. Tindakan tuan ini adalah satu bentuk ibadah dan kebaikan yang besar di sisi Allah SWT. Tuan boleh menunaikan solat Zohor sebagai ganti solat Jumaat.
Sekian, terima kasih.