Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
1.apakah hukum membuat berhutang di bank untuk mendapatkan dividen setiap tahun? Contoh membuat asb financing
2. Apa hukum trade emas di dalam akaun trading dengan berpandukan graph dan teknikal analisis?
Jawapan
Merujuk kepada soalan:
1) Secara umumnya, membuat hutang di bank untuk mendapatkan dividen (keuntungan) adalah harus jika pembiayaan yang dibuat adalah pembiayaan yang ditawarkan oleh perbankan Islam yang mematuhi kontrak patuh Syariah. Sebagai contoh ASB Financing atau Pembiayaan ASB merupakan pembiayaan yang ditawarkan oleh perbankan Islam kepada pelanggan yang berhasrat untuk membuat simpanan atau pelaburan dalam Amanah Saham Bumiputera bagi memperolehi pulangan (dividen) dalam simpanan atau pelaburan yang dilakukan dalam suatu tempoh tertentu. Pembiayaan yang ditawarkan kepada pelanggan adalah berdasarkan kontrak patuh Syariah antaranya ialah tawarruq.
2) Hukum beli emas dalam akaun trading berpandukan graf dan analisis hendaklah diperhalusi secara mendalam berkaitan operasi yang digunakan. Secara umumnya, jika platform tersebut diperakui patuh Syariah oleh agensi berautoriti seperti Suruhanjaya Sekuriti (SC) atau Bank Negara Malaysia (BNM) maka ia boleh dijadikan pilihan untuk menggunakan platform tersebut untuk melakukan aktiviti perdagangan atau pelaburan. Tetapi jika sebaliknya iaitu platfrom tersebut tiada dalam senarai atau tidak diperakui patuh Syariah adalah sebaiknya dielakkan daripada terlibat dengannya kerana dikhuatiri terlibat dengan riba hingga membawa kepada dosa.
Bursa Malaysia juga ada menyediakan dokumen Bursa Malaysia-i 101 sebagai platform pelaburan patuh Syariah yang pertama di dunia sebagai rujukan kepada pelabur yang mencari sekuriti patuh Syariah bagi mengakses perkhidmatan Bursa Malaysia melalui broker Islam. Boleh merujuk kepada pautan berikut:
Tambahan pula, dalam urusan jual beli emas, syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak mesti dipatuhi bagi mengelakkan sebarang unsur riba. Antara syarat tersebut adalah jual beli mestilah dilakukan secara sama berat (timbangan atau sukatan), secara tunai, dan berlaku serah terima dalam satu majlis (on the spot). Oleh itu, bagi memastikan pelaburan yang dibuat benar-benar patuh Syariah, adalah penting untuk membuat kajian dan merujuk kepada agensi berautoriti seperti Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM), agar tidak terjebak dalam perdagangan yang dilarang oleh syarak.
Sekian. Terima kasih.