Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Persoalan saya adalah berkaitan dengan pekerjaan yang membabitkan aktiviti pemasaran kad daun terup, sama ada secara fisikal dan atas talian. Untuk pengetahuan lebih lanjut, penjualan kad daun terup merupakan sebahagian kecil daripada keuntungan syarikat ini dan bukanlah produk utama syarikat ini. Tambahan pula, kad daun terup ini dijual kepada pusat-pusat kasino, bukannya orang awam. Namun begitu, adakah pekerjaan ini masih dikira halal dan menetapi Shariah jika saya mengetahui bahawa kad ini akan dijual kepada pusat-pusat kasino? Jika tidak, apakah yang harus saya lakukan jika majikan saya tidak membenarkan pekerja bukan Islam untuk mengambil alih tugasan ini dengan alasan saya melepaskan tanggungjawab saya sebagai seorang pekerja?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, keuntungan penjualan daun terup merupakan sebahagian daripada keuntungan syarikat yang mana ia merupakan sebahagian sumber kewangan yang digunakan untuk membayar gaji pekerja. Bekerja di syarikat yang mempunyai kaitan dengan aktiviti perjudian secara langsung adalah tidak dibenarkan kerana syarikat tersebut mendapat dana daripada aktiviti perjudian itu. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).
Berdasarkan firman Allah SWT ini dapat disimpulkan bahawa Allah SWT memberi peringatan tentang azab berat yang disediakan bagi orang yang bertolong-tolong dalam melakukan perkara dosa dan maksiat.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Mukminun ayat 51:
Maksudnya: Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh.
Berdasarkan situasi yang diterangkan, adalah dinasihatkan agar puan berusaha untuk mendapatkan pekerjaan lain yang sumber perniagaan dan keuntungannya adalah halal bagi mendapat keberkatan daripada Allah SWT.
Yakinlah dengan janji dan perintah Allah SWT tentang jalan keluar yang disediakan bagi orang yang benar-benar mencari keredhaan Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Talaq ayat 2 - 3:
Maksudnya: dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
Sekian. Terima kasih.