Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Al Fadhil Sohibussamahah.. Terdapat imam yang bertugas di kariah saya yang tidak sujud ketika membaca surah al alaq dalam solat maghrib. .. kejadian ini kerap berlaku. Dengan memahami hukum sunat sujud dalam mazhab Syafie dan tidak berdosa jika meninggalkannya. Adakah saya perlu menegur untuk dia (imam) sujud atau menasihatkannya untuk tidak membaca ayat tersebut ketika menjadi imam? Atau saya perlu akur dengan tindakan imam tersebut dalam keadaan saya membayangkan betapa gembiranya syaitan melihat kita juga tidak sujud apabila diperintahkan untuk sujud ? Mohon pencerahan.. T.kasih
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, memang terdapat hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasullah SAW bersabda:
إِذَا قَرَأَ ابْنُ آدَمَ السَّجْدَةَ فَسَجَدَ اعْتَزَلَ الشَّيْطَانُ يَبْكِي، يَقُولُ: يَا وَيْلَهُ أُمِرَ ابْنُ آدَمَ بِالسُّجُودِ فَسَجَدَ فَلَهُ الْجَنَّةُ، وَأُمِرْتُ بِالسُّجُودِ فَأَبَيْتُ فَلِيَ النَّارُ
Maksudnya: Jika seorang anak Adam membaca ayat Sajadah kemudian dia sujud, maka syaitan akan melarikan diri dan menangis sambil berkata: “Celakalah aku, anak Adam disuruh untuk sujud dan dia sujud dengan patuh, dan dia mendapat ganjaran syurga. Tetapi aku diperintahkan untuk sujud dan aku enggan untuk sujud,maka aku mendapat balasan neraka. (Riwayat Muslim)
Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna jika seseorang tidak sujud sajadah, bermakna syaitan akan bergembira. Pada hakikatnya syaitan bergembira apabila kita meninggalkan perkara wajib (fardu) yang diperintahkan oleh Allah SWT atau melanggar larangan-Nya secara sengaja.
Di dalam satu hadis daripada Zaid bin Thabit RA, bahawa beliau berkata:
قَرَأْتُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالنَّجْمِ فَلَمْ يَسْجُدْ فِيهَا
Maksudnya: Aku pernah membaca Surah al-Najm di hadapan nabi SAW, namun Baginda tidak bersujud kerananya. (Riwayat Al-Bukhari)
Oleh itu, hukum sujud tilawah adalah sunat muakkad. Tidak melakukan sujud ini bukanlah satu dosa atau tanda ingkar kepada Allah. Apabila imam melakukan sujud tilawah, maka sujudlah. Jika imam meninggalkannya, maka ikutlah.
Namun melakukan sujud tilawah adalah sangat digalakkan.
Sekian, terima kasih.