BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, 

Saya ingin mohon pencerahan & bantuan bagi selesaikan masalah saya. 
 

Saya baru sahaja selesai menunaikan umrah kali ke 2 & ke 3 . Namun , sehari selepas selesai menunaikan ibadah itu , saya datang terfikir "eh dah mandi wajib ke atau belum?"  . Hal ini mendatangkan kerisauan jika saya benar-benar tidak mandi junub . Kerana pada malam sebelum saya menunaikan umrah ke 2, saya bermimpi & tidak sengaja keluar mani . Apakah sah umrah saya & apakah saya masih dalam larangan ihram ? Apa yang perlu saya lakukan ? 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Berdasarkan persoalan yang diajukan, waswas atau syak yang datang selepas selesai menunaikan ibadah terutamanya umrah tidak diambil kira. Disebutkan dalam al-Manthur fi al-Qawa'id al-Fiqhiyyah (2/260):

قَالَ ابْنُ الْقَطَّانِ فِي الْمُطَارَحَاتِ، " فَرَّقَ " " الْإِمَامُ " الشَّافِعِيُّ بَيْنَ الشَّكِّ فِي الْفِعْلِ وَبَيْنَ ‌الشَّكِّ ‌بَعْدَ الْفِعْلِ فَلَمْ يُوجِبْ إعَادَةَ الثَّانِي، لِأَنَّهُ يُؤَدِّي إلَى الْمَشَقَّةِ، فَإِنَّ الْمُصَلِّيَ لَوْ كُلِّفَ أَنْ يَكُونَ ذَاكِرًا لَمَا صَلَّى لَتَعَذَّرَ عَلَيْهِ ذَلِكَ وَلَمْ يُطِقْهُ أَحَدٌ فَسُومِحَ فِيهِ وَبَيَانُهُ بِصُوَرٍ: 

وَمِنْهَا لَوْ طَافَ لِلْعُمْرَةِ ثُمَّ شَكَّ هَلْ طَافَ بِطَهَارَةٍ أَمْ لَا لَمْ يَلْزَمْهُ إعَادَةُ الطَّوَافِ، لِأَنَّهُ أَدَّى الْعِبَادَةَ فِي الظَّاهِرِ، فَلَا يَسْقُطُ حُكْمُ ذَلِكَ بِالشَّكِّ.

Maksudnya: Ibn al-Qattam dalam al-Mutorrahat: Imam al-Shafi‘i membezakan antara syak ketika melakukan perbuatan dan syak selepas selesai melakukan perbuatan. Beliau tidak mewajibkan pengulangan bagi yang kedua (iaitu syak selepas selesai), kerana hal itu akan membawa kepada kesukaran. Jika seseorang yang sedang solat dibebankan untuk sentiasa mengingati setiap perincian secara tepat, nescaya dia tidak akan dapat menunaikan solat, kerana hal itu amat sukar dan tidak mampu ditanggung oleh sesiapa pun. Maka diberikan kemaafan (rukhsah) dalam perkara tersebut. Penjelasannya dapat difahami melalui beberapa contoh:

Antaranya: Jika seseorang telah melakukan tawaf untuk umrah, kemudian dia syak sama ada dia melakukan tawaf itu dalam keadaan suci atau tidak, maka dia tidak wajib mengulangi tawaf tersebut, kerana pada zahirnya dia telah menunaikan ibadah itu. Maka hukum yang telah sabit bagi ibadah tersebut tidak gugur hanya dengan syak.

Justeru, umrah yang tuan kerjakan adalah sah dan tuan dianggap keluar daripada umrah sejurus selesai mengerjakan umrah.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 39

message user image