Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum uztaz, saya telan makanan (telan sengaja) selepas masuk waktu subuh dalam keadaan saya tidak perasan sudah masuk waktu subuh. Context: saya di melbourne masuk waktu subuh 5:19 saya tengok jam dekat fon 5:18 fon screen gelap lepastu saya telan makanan tengok lagi sekali dah 5:19:20? Mohon pencerahan uztaz terima kasih
Jawapan
Merujuk soalan di atas, sekiranya masih terdapat makanan atau minuman di dalam mulut kita sejurus azan berkumandang, dengan catatan bahawa azan itu dilaungkan bertepatan dengan masuknya waktu solat sebenar, maka kita wajib mengeluarkannya serta merta dari mulut. Jika kita teruskan menelan makanan tanpa mengeluarkannya kembali maka, batal lah puasa pada hari tersebut dan wajib qada' puasanya. Hal ini bagi memastikan kita tidak melakukan perkara yang membatalkan puasa setelah terbit fajar (masuk waktu Subuh). Adapun sekiranya makanan atau minuman tersebut sudah sampai di bahagian tekak ketika azan berkumandang, maka boleh terus menelan sahaja dan ianya dimaafkan serta boleh meneruskan puasa pada hari tersebut. Namun seandainya diyakini, makan dan minum selepas masuk waktu solat Subuh, maka puasanya tidak sah.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, puasa tuan menjadi batal kerana boleh jadi semasa tuan selesai telan makanan, waktu subuh telahpun masuk (dalam masa seminit tersebut). Oleh itu, puasa pada hari tersebut tidak sah dan perlu diqada’. Sebaiknya tuan mula imsak (menahan diri daripada makan, minum atau melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa) pada ketetapan waktu imsak negeri yang telah dijadualkan agar perkara seperti ini tidak berulang.
Sekian, terima kasih.