Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum Ust/Dato'. Pernah terjadi semasa solat Asar, Imam terlupa rakaat ke4 dan terus bangun menjadi rakaat kelima tanpa ditegur oleh makmum dibelakangnya. Separuh daripada makmum mengikut Imam dan sebahagiannya (Saf belakang) berhenti di rakaat ke4 dalam kedudukan tahiyat akhir menunggu sehingga Imam menghabiskan rakaat yang ke5 tadi dan salam bersama-sama Imam, dan sebahagiannya mufarakah setelah mendengar Imam takbir 3 kali (melakukan 3 rukun sembahyang). Mana yang harus di ikuti oleh makmum yang pasti Imam telah terlebih rakaatnya? 1. Mengikut Imam ke rakaat kelima. 2. Duduk tahyat akhir menunggu Imam dan salam bersama imam 3. mufarakah. Mohon pencerahan Ust/Dato'. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, dalam keadaan yang dinyatakan, makmum yang yakin bahawa imam tersebut telah menambah rakaat, maka haram baginya mengikut imam dan perlu menegur imam dengan lafaz “subhanallah”. Jika imam tidak hiraukan teguran tersebut maka makmum tersebut mempunyai dua pilihan, iaitu; i Duduk dan selesaikan bacaan di tasyahud akhir dan tunggu untuk memberi salam bersama-sama imam, atau ii Mufaraqah iaitu niat berpisah daripada imam dengan duduk dan memberi salam setelah selesai bacaan di tasyahud akhir tanpa menunggu imam. Bagi makmum yang yakin imam tidak menambah rakaat atau tidak pasti akan perkara tersebut, maka sah solat baginya jika dia mengikut imam sehingga selesai. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.