Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanya mengenai penggunaan sunscreen spray ketika sedang berpuasa. Sunscreen spray tersebut mempunyai bau yang wangi. Ketika semburan, saya sedar saya sedang berpuasa namun terlupa bau wangi tersebut akan berterusan beberapa minit selepas disembur. Ketika sembur, nafas ditahan. Namun selepas itu ketika bernafas, bau wangi itu masih melekat dan dihidu. Saya sedang mengganti puasa Ramadhan ketika itu.
Persoalan:
1) Adakah puasa saya masih sah atau batal?
2) Jika saya merasa ragu-ragu dengan status puasa dan ingin berbuka ketika sedang mengqada puasa (tindakan untuk membatalkan puasa, sama ada dalam kes ini atau apa-apa keadaan pada masa akan datang) adakah tindakan tersebut dibenarkan?
3) Jika saya terpaksa berbuka puasa yang sedang diganti (sebab sakit atau lain-lain) adakah puasa tersebut dikira sehari atau double hari yang perlu diganti?
Terima kasih di atas keprihatinan pihak tuan menjawab persoalan ini. Semoga Allah jua membalas dengan sebaik-baik ganjaran.
Jawapan
Di sisi mazhab Syafie hukum memakai atau menghidu bau minyak wangi adalah tidak membatalkan puasa kerana tidak ada nas sahih yang menunjukkan hal tersebut (batalnya puasa) dan ia bukanlah satu bentuk perbuatan makan dan minum.
Merujuk soalan yang diajukan:
1) Puasa puan tidak batal. Kerana ia tidak menyampaikan sesuatu ke perut melainkan sampai baunya sahaja.
2) Puasa ganti adalah fardhu ain dan wajib ditunaikan, maka ia dihukumkan sama ketika puasa di bulan Ramadhan. Tidak boleh dibatalkan dengan sengaja tanpa uzur yang disyariatkan oleh syarak. Sekiranya ia sekadar keraguan yang bermain dalam fikiran, maka sebaiknya tidak diambil peduli.
3) Namun, sekiranya seseorang itu tidak mampu untuk berpuasa atas sebab keuzuran seperti sakit, musafir, haid dan sebagainya maka wajib ke atasnya untuk menggantikan semula pada hari yang lain. Bilangan hari gantian puasa adalah mengikut bilangan asal sahaja. Firman Allah SWT:
Maksudnya: Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain. (Surah al-Baqarah, 184)
Sekian, terima kasih.