Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam Ustaz. Mohon penjelasan tentang hukum status solat jika sewaktu sedang bersolat terlintas niat untuk iktikaf dalam masjid kerana waktu masuk masjid terlupa untuk berniat iktikaf. Adakah solat batal kerana ada niat lain ketika dalam solat. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, solat tersebut tidak terbatal sekalipun terlintas niat untuk beriktikaf di dalam masjid ketika mana solat tersebut sedang dilaksanakan. Ini kerana yang membatalkan solat ialah apabila seseorang itu berniat untuk memutuskan solat atau ragu-ragu untuk meneruskannya. Adapun sekadar terlintas niat untuk melakukan ibadah lain yang tidak bercanggah dengan solat, maka ia tidak menjejaskan kesahan solat tersebut.
Hal ini selaras dengan kaedah umum dalam Islam bahawa setiap amalan bergantung kepada niat. Sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Saidina Umar al-Khattab RA, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى
Maksudnya: Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan sesungguhnya bagi setiap orang itu apa yang dia niatkan. (Riwayat al-Bukhari)
Hadith ini menunjukkan bahawa niat menentukan hukum sesuatu amalan. Dalam konteks ini, selagi mana tidak ada niat untuk membatalkan solat, maka solat tersebut kekal sah. Niat untuk beriktikaf pula adalah niat ibadah yang berasingan dan tidak menafikan niat solat yang sedang dilakukan.
Berkenaan iktikaf, Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 187 iaitu:
وَلَا تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ
Maksudnya: Dan janganlah kamu campuri mereka (isteri-isteri kamu) sedang kamu beriktikaf di dalam masjid.
Ayat ini menunjukkan pensyariatan iktikaf dan bahawa tempatnya ialah di dalam masjid. Para ulama menjelaskan bahawa iktikaf adalah ibadah yang memadai dengan niat ketika seseorang berada di dalam masjid. Ia tidak disyaratkan mesti berniat tepat ketika melangkah masuk. Bahkan jika seseorang telah berada dalam masjid ia termasuk ketika sedang solat, lalu dia berniat untuk beriktikaf, maka sah iktikafnya bermula saat itu.
Maka dalam keadaan yang ditanyakan, apabila seseorang sedang solat kemudian terlintas atau dia berniat untuk beriktikaf tanpa ada niat memutuskan solat, solatnya tetap sah dan tidak batal. Iktikafnya juga sah bermula daripada saat dia berniat tersebut.
والله أعلم بالصواب