Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ada persoalan tentang surah Al-Kahfi ayat 28
lebih tepatnya tentang jangan mengikuti orang yang hatinya telah Allah lalaikan.
Persoalan saya,
1)apakah yang dimaksud lalai itu semua jenis kelalaian atau lalai yang spesifik.
2)apakah orang yang lalai akan kewajiban termasuk dalam golongan tersebut.
3)apakah berdosa jika berteman dengan orang yang telah kita ketahui orang tersebut termasuk kedalam golongan tersebut.
4)apakah wajib memutus ikatan dengan seseorang setelah mengetahui meraka termasuk kedalam golongan tersebut.
5)jika ibu bapa kita termasuk golongan tersebut apakah masih wajib taat perintah mereka.
Mohon penjelasan.
Jawapan
Merujuk soalan yang diajukan,
1. Maksud “lalai” pada ayat tersebut telah disebutkan dalam Kitab Tafsir al-Munir karangan Wahbah Zuhaili yang bermaksud iaitu:
“Yang telah disibukkan oleh urusan dunia sehingga berpaling daripada agama dan ibadah kepada Tuhannya; dan dia pula seorang yang melampau serta cuai dalam segala amal dan perbuatannya hingga ke tahap yang sangat berlebih-lebihan dan melampaui batas, serta sentiasa menurut hawa nafsunya.”
2. Ia juga termasuk kerana disebutkan juga oleh Wahbah Zuhaili bahawa; Ini menjadi dalil bahawa sebab mereka dijauhkan (atau sebab menjauhi mereka) adalah kerana keberpalingan mereka daripada mengikuti perintah Allah akibat terpedaya dengan godaan dan perhiasan dunia.
Perintah Allah yang disebutkan itu merujuk kepada segala perkara yang telah diwajibkan Allah SWT kepada seluruh hambanya.
3. Berkawan dengan orang yang lalai tidak membawa terus kepada dosa, kerana secara jelasanya Allah SWT melarang kita mengikuti mereka bukan berkawan dengan mereka. Dosa akan timbul apabila persahabatan itu menyebabkan kita terpengaruh dengan kelalaian mereka, meninggalkan kewajipan, menyokong maksiat, atau redha dengan kemungkaran mereka. Sebaliknya, jika pergaulan itu bertujuan memberi nasihat, berdakwah, atau mengekalkan silaturahim tanpa terpengaruh, ia tidak berdosa malah boleh menjadi pahala. Namun, digalakkan agar mencari persekitaran daripada kalangan orang yang baik-baik agar dapat membentuk diri menjadi insan yang berakhlak mulia.
4. Tidak wajib memutuskan ikatan dengan seseorang hanya kerana dia termasuk golongan yang lalai. Islam juga menekankan hubungan silaturrahim sesama manusia. Hubungan sosial boleh diteruskan selagi ia tidak memudaratkan agama atau menyebabkan kita turut terjerumus dalam maksiat. Pemutusan hubungan hanya disarankan jika persahabatan itu jelas merosakkan iman, mendorong kepada kemungkaran, atau kita tidak mampu mengekalkan batas-batas syarak.
5. Mentaati ibu bapa adalah satu kewajipan selagi tidak menyalahi perintah Allah. Ketaatan kepada ibu bapa tidak meliputi perkara maksiat atau syirik, jika mereka memerintahkan sesuatu yang bertentangan dengan agama, kita tidak wajib taat dalam hal itu. Namun, kita tetap diwajibkan menjaga adab, menghormati, dan berbuat baik kepada mereka dalam urusan dunia, selagi tidak menjejaskan iman dan perintah Allah SWT.
Sekian, terima kasih.