BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya telah melakukan injection ubatan claxane kepada kakak sy, yg dikatakan mengandungi unsur haiwan babi, namun cecair ubat telah terkena kulit tangan saya. adakah sy perlu melakukan sertu?

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, pertama sekali pengharaman menggunakan unsur babi adalah perkara yang ditegah oleh Allah SWT dari segala aspek sama ada perubatan dan lain-lain. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 3:

 حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”

Namun begitu, terdapat keadaan yang membenarkan menggunakan unsur haram dalam perubatan sekiranya dalam keadaan tiada ubat lain yang boleh digunakan untuk mengubati sesuatu penyakit dan dalam keadaan yang darurat. Imam Khatib Syirbini juga mengatakan hukum sebegini dalam Mughni Muhtaj (5/518):

أَمَّا ‌التِّرْيَاقُ ‌الْمَعْجُونُ بِهَا وَنَحْوُهُ مِمَّا تُسْتَهْلَكُ فِيهِ فَيَجُوزُ التَّدَاوِي بِهِ عِنْدَ فَقْدِ مَا يَقُومُ مَقَامَهُ مِمَّا يَحْصُلُ بِهِ التَّدَاوِي مِنْ الطَّاهِرَاتِ كَالتَّدَاوِي بِنَجَسٍ كَلَحْمِ حَيَّةٍ وَبَوْلٍ، وَلَوْ كَانَ التَّدَاوِي بِذَلِكَ لِتَعْجِيلِ شِفَاءٍ بِشَرْطِ إخْبَارِ طَبِيبٍ مُسْلِمٍ عَدْلٍ بِذَلِكَ أَوْ مَعْرِفَتِهِ لِلتَّدَاوِي بِهِ

“Adapun seperti tiryaq (ubat penawar) yang digaul dengan bahan najis (seperti arak) dan telah hilang sifat najisnya, maka harus berubat dengannya sekiranya tiada ubat suci lain yang mampu menggantikannya dalam menyembuhkan.Demikian juga hukumnya seperti berubat dengan najis lain, seperti daging ular atau air kencing, bahkan jika rawatan itu hanya untuk mempercepatkan penyembuhan, tetap harus dengan syarat:

-Disahkan oleh doktor Muslim yang adil.

-Pesakit sendiri mengetahui faedah rawatan tersebut secara sahih.”

Hal ini bertepatan dengan kaedah:

الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ

Maksudnya: Keadaan darurat mengharuskan perkara yang diharamkan.

Justeru, diharuskan untuk mengambil ubat tersebut jika mempunyai darurat dan telah disahkan pengunaan tersebut daripada doktor yang pakar. Kadar campuran najis dengan ubat tersebut perlu dikawal agar tidak membawa kepada kemudaratan. Hal ini juga bertepatan dengan kaedah:

مَا أُبِيحَ لِلضَّرُورَةِ يُقَدَّرُ بِقَدْرِهَا

Maksudnya: Apa yang diharuskan kerana darurat, maka diharuskan sekadar kadar keperluannya sahaja.

Adapun ubat yang bercampur dengan unsur babi tidak dianggap najis kerana ubat tersebut telah hilang sifat najisnya. Maka, tidak perlu untuk membersihkan tangan jika bersentuhan. Berdasarkan Imam Ibn Hajar Al-Haitami mengatakan dalam Tuhfah (9/170):

أَمَّا مُسْتَهْلَكَةٌ مَعَ دَوَاءٍ آخَرَ فَيَجُوزُ التَّدَاوِي بِهَا كَصَرْفِ بَقِيَّةِ النَّجَاسَاتِ إنْ عَرَفَ أَوْ أَخْبَرَهُ عَدْلُ طِبٍّ بِنَفْعِهَا وَتَعَيُّنِهَا بِأَنْ لَا يُغْنِي عَنْهَا طَاهِرٌ وَيَظْهَرُ فِي مُتَنَجِّسٍ بِخَمْرٍ وَنَجِسٍ غَيْرُهُ أَنَّهُ يَجِبُ تَقْدِيمُ هَذَا 

Maksudnya: Adapun najis yang bercampur dengan ubat lain lalu hilang sifat asalnya, maka harus berubat dengannya, sebagaimana harus menggunakan baki najis lain jika diketahui oleh seseorang atau diberitahu oleh doktor yang adil akan manfaatnya serta keperluan khusus kepadanya, iaitu tiada bahan yang suci dapat menggantikannya. Dan hal ini lebih jelas pada ubat yang tercemar dengan arak atau najis selainnya bahawa wajib mendahulukan ubat tersebut jika perlu.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 34

message user image