Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum, saya ingin bertanya, saya baru sahaja mendapat kerja di kedai runcit speedmart sebagai supervisor dan ini merupakan kerja pertama saya yang saya dapat selepas saya mohon pelbagai jawatan kosong dan saya ingin bertanya adakah gaji saya dikira haram kerana bekerja di kedai speedmart yang menjual alkohol?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, bekerja di kedai runcit yang menjual pelbagai barangan termasuk arak tidak secara automatik menjadikan keseluruhan gaji itu haram khususnya jika tugas yang dilakukan tidak melibatkan pengendalian, promosi atau transaksi arak secara langsung.
Namun demikian, situasi tersebut boleh tergolong dalam perkara yang bersifat syubhah (meragukan), lebih-lebih lagi jika terdapat keterlibatan langsung dengan urusan penjualan arak dan keluar masuk barang tersebut di premis.
Adalah lebih baik dan menenangkan jiwa jika puan berusaha mencari pekerjaan lain yang bebas daripada unsur syubhah secara berperingkat tanpa perlu tergesa-gesa sehingga menjejaskan keperluan hidup semasa. Dalam tempoh tersebut, puan boleh terus bekerja seperti biasa dengan syarat tidak meredai penjualan arak dan sedaya upaya mengelakkan penglibatan secara langsung dengannya.
Diriwayatkan daripada al-Nu'man Ibn Bashir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara kedua-duanya terdapat perkara-perkara yang syubhah (tidak diketahui oleh kebanyakan manusia). Maka sesiapa yang memelihara dirinya daripada perkara syubhah, maka dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya. (Riwayat al-Bukhari)
Gaji yang diperoleh tidak dihukum haram secara mutlak. Namun, sikap berhati-hati dan usaha mencari alternatif yang lebih baik adalah langkah yang lebih utama dan terpuji di sisi syarak.
Sekian, terima kasih.