BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Saya ada buat sumpah atas nama Allah dan saya telah melanggar sumpah tersebut. Jika saya mahu berpuasa 3 hari (iaitu perlu jika tidak mampu memberi 10 makan atau pakaian kepada orang miskin) pada bulan ramadhan, boleh ke? Maksudnya berpuasa 3 hari untuk tebus dosa sumpah atas nama Allah pada bulan ramadhan. Harap pertanyaan saya dijawab, terima kasih.


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, seseorang yang bersumpah dengan menepati syarat sahnya lalu dia melanggar sumpah itu maka diwajibkan kaffarah sumpah. Kaffarah sumpah tersebut adalah dia diberikan tiga pilihan pertama, iaitu:

a) Jika mampu memerdekakan seorang hamba yang beriman, maka wajib berbuat demikian.

b) Jika tidak mampu memerdekakan seorang hamba yang beriman, maka wajib memberi makanan yang mengenyangkan kepada sepuluh orang miskin dengan makanan yang sederhana yang biasa diberikan oleh seseorang kepada keluarganya; dan

c) Jika tidak mampu memberi makanan yang mengenyangkan kepada sepuluh orang miskin, maka wajib memberi pakaian kepada sepuluh orang miskin.

Jika masih tidak mampu untuk melaksanakan salah satu daripada tiga di atas, pilihan keduanya adalah berpuasa selama tiga hari yang tidak disyaratkan berturut-turut. Dinasihatkan agar lebih berhati-hati dalam melafazkan sumpah kerana ia bukan perkara yang boleh diambil remeh serta boleh mendatangkan dosa dan berupa hutang kepada Allah SWT jika tidak dapat dilaksanakan ketika masih hidup. 

Walaubagaimanapun, tidak boleh untuk menggabungkan puasa kaffarah dengan puasa di bulan Ramadhan kerana puasa di bulan Ramadhan adalah wajib ke atas semua Muslim dan khusus pada bulan tersebut sahaja. 

Manakala puasa kaffarah hanya wajib ke atas orang yang melanggar sumpah dan tidak terikat pada waktu tertentu. Oleh itu, kedua-dua puasa yang wajib perlu dilakukan secara berasingan. Puan boleh melaksanakan puasa kaffarah tersebut pada bila-bila masa kecuali pada bulan Ramadhan atau hari-hari yang diharamkan berpuasa. 

 الله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 27

message user image