Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ada soalan mengenai puasa.
Saya sentiasa mempunyai gelema (dahak) yang berkumpul di rongga hidung. Setiap kali saya menelan air liur pasti akan kahak itu sekali. Kalau ikut situasi saya akan ludah, namun akan ada masa saya tidak boleh buang gelema tersebut dan perlu telan dahak tersebut disebabkan tidak selesa. Adakah sah atau batal puasa saya?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, hukum menelan kahak ketika berpuasa bergantung kepada kedudukan kahak tersebut:
Jika kahak masih berada di bahagian dalam seperti di rongga hidung, halkum atau belum sampai ke ruang zahir mulut, kemudian tertelan tanpa dipindahkan ke luar, maka puasa tidak batal.
Jika kahak telah sampai ke bahagian zahir mulut (iaitu ruang mulut yang boleh diludah keluar), kemudian seseorang sengaja menelannya semula sedangkan dia mampu meludahkannya, maka menurut pandangan yang muktamad dalam mazhab Shafi‘i, puasanya menjadi batal.
Dalam keadaan sukar untuk mengelak atau berlaku tanpa sengaja, ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan. Namun, jika mampu, sebaiknya diludah keluar bagi mengelakkan khilaf dan menjaga kesempurnaan puasa. Puasa tuan tidak batal selagi kahak tersebut belum sampai ke ruang zahir mulut atau tertelan tanpa sengaja dan tanpa kemampuan untuk mengeluarkannya.
Sekian, terima kasih.