Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz/ustazah, ada najis yang dah hilang ainnya di lantai mozek, tapi di celahan mozek tu ada daki/kulat sebab selalu kena air. Bila nak siram air untuk hilangkan najis tu, secara tak langsung ia akan kena celahan yang ada kulat tu, bukan ke ia akan menajiskan tempat lain juga?, sebab kulat tu bukan dekat satu celahan je, boleh kata hampir seluruh celahan lantai mozek tu ada kulat. Bagaimana pula kalau najis tu sendiri berada di atas celahan mozek tersebut?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, perlu difahami bahawa najis yang telah hilang zatnya kemudian dibasuh dengan air mutlak sehingga hilang kesan zahirnya, maka tempat tersebut menjadi suci dan tidak perlu dibasuh berulang kali.
Adapun kulat yang terkena air basuhan tidaklah dihukumkan najis kerana air basuhan tersebut dianggap sebagai air musta‘mal setelah basuhan pertama menghilangkan ‘ain (zat) najis pada tempat asalnya. Air musta‘mal adalah suci pada dirinya dan tidak menajiskan benda lain selagi tidak berubah warna, bau atau rasanya disebabkan najis. Oleh itu, memadai dengan siraman air mutlak pada tempat yang terkena najis sehingga hilang kesan zahir ‘ain najis tersebut. Sekiranya ‘ain najis telah hilang dan hanya tinggal kesan yang sukar dihilangkan, maka ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan.
Begitu juga andaian bahawa najis mungkin berada di celahan mozek tersebut hendaklah diabaikan kerana tidak dituntut untuk menyucikan sesuatu yang tidak diyakini kewujudannya. Dalam kaedah fiqh disebutkan:
Maksudnya: Keyakinan tidak akan dapat menghapuskan keraguan.
Justeru, selagi tidak dapat dipastikan adanya ‘ain najis atau sifatnya (warna, bau atau rasa), maka tempat tersebut dihukumkan kekal suci dan tidak wajib dibasuh.
الله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.