Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya seorang penghantar barang 'Lalamove'. Saya telah memilih satu tugasan dan telah ke tempat untuk mengambil barang tanpa menelefon pelanggan untuk menanyakan berkenaan barang apa yang perlu dihantar. Tiba di rumah pelanggan yang berbangsa Cina, saya dapati untuk menghantar makanan. Tanpa saya diberitahu apakah kandungan makanan tersebut dan saya juga tidak menanyakan apakah lauk makanan ini. Saya pun menghantar makan tersebut dan tidak memilih untuk membatalkan tugasan.
Semasa dalam perjalanan fikiran saya was-was dan tertanya-tanya apakah lauk yang saya hantar ini. Setelah hampir untuk sampai ke tempat penghantaran. Saya telah membuka plastik bungkusan makanan tersebut dan terdapat dua bekas Tupperware plastik lutsinar. Satu bekas berisi nasi dan bekas kedua saya tidak dapat nak pastikan apakah lauk tersebut. Cuma ia kelihatan seperti sesuatu isi atau daging yang nipis-nipis dan tidak berkuah tetapi kelihatan tidak kering. Dan tidak pasti samaada isi daging yang halal ataupun tidak halal seperti daging khinzir.
Saya tidak pasti lauk apa. Dan bekas kedua ini tutupnya kelihatan berwap. Saya telah memegang bekas itu ketika ingin melihat kandungan lauk. Dan dapati tangan saya ada terkena sesuatu yang basah apabila memegang bekas itu. Saya tidak pasti samaada wap daripada bekas atau kuah atau minyak dan tiada bau ketika saya menghidu tangan saya. Dan ianya sangat sedikit dan saya gosok sedikit antara jari terus kering. Saya hantar makanan tersebut dan saya telah membasuh tangan saya dengan air paip.
Soalan saya,
1) Apakah hukum saya menghantar makanan daripada rumah bangsa Cina itu dan tidak tahu apa kandungan makanan?
2) Bagaimana dengan bayaran tugasan yang saya terima?
3) Adakah saya perlu sertu tangan saya?
Mohon pihak Ustaz dapat memberikan jawapan dan kesimpulan mengenai soalan saya ini. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan:
1. Hukum asalnya adalah harus kerana tiada kepastian tentang keharaman makanan tersebut. Namun, adalah lebih baik untuk berhati-hati dan bertanya jika timbul keraguan yang kuat.
Secara umumnya, seorang Muslim wajib memastikan bahawa apa yang diusahakannya adalah halal dan tidak melibatkan perkara haram. Dalam kes penghantaran makanan, jika terdapat keraguan yang kuat bahawa makanan tersebut adalah haram, maka tidak dibenarkan untuk menghantarnya. Namun, jika keraguan itu hanya pada tahap was-was biasa tanpa bukti yang kukuh, maka hukum asalnya adalah harus, selagi tidak ada kepastian tentang keharamannya.
2. Upah yang anda terima adalah halal kerana perkhidmatan yang diberikan tidak melibatkan perkara haram secara pasti.
Bayaran yang anda terima untuk tugasan penghantaran ini adalah sah dan halal, selagi perkhidmatan yang anda berikan itu sendiri tidak melibatkan perkara haram secara pasti. Memandangkan anda tidak pasti tentang keharaman makanan tersebut, dan hukum asalnya adalah harus, maka upah yang anda terima adalah halal.
3. Anda tidak perlu sertu tangan kerana tiada kepastian tangan anda bersentuhan dengan najis mughallazah. Membasuh tangan dengan air paip sudah mencukupi.
Oleh itu, di masa hadapan, adalah dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dan bertanya kepada pelanggan tentang jenis makanan yang perlu dihantar, terutamanya jika ia melibatkan penghantaran makanan dari premis bukan Muslim, bagi mengelakkan keraguan dan menjaga kesucian diri sebagai seorang Muslim.
Sekian, terima kasih.