BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaiku, ingin saya bertanya. Saya ada penyakit kencing tak lawas , tapi tidak la teruk hingga menitik atau keluar banyak. Sebelum solat selalunya saya balut kemaluan saya dengan tisu. Saya nak buat solat ganti tapi saya nak buat dalam kuantiti yang banyak terus , contohnya solat ganti subuh 20 kali terus. 

Soalan pertama -  Bagaimana untuk saya solat ganti secara berterusan, adakah perlu ganti balutan tisu setiap kali solat ganti.

 

Soalan kedua - bolehkah saya tutup lubang kemaluan saya dengan salotape untuk mengelakkan air keluar bagi solat ganti 20x secara terusan 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, keadaan ini disebut sebagai daimul hadath iaitu orang yang sentiasa berhadas. Oleh itu, pesakit yang menghidapi penyakit salas (keluar air kencing/darah istihadhah berterusan) atau yang seumpamanya boleh memilih melakukan salah satu daripada berikut: 

i. Solat fardhu pada setiap waktu (menurut mazhab Syafi'i). 

a) Sucikan diri daripada najis dan gunakan lampin atau seumpamanya pada tempat keluar najis. 
b) Setelah itu sucikan diri daripada hadas. Kedua-duanya mesti dilakukan setelah masuk waktu solat.
c) Segera tunaikan solat. Solat adalah sah dan tidak perlu diulang walau pun najis tetap keluar ketika sedang berwuduk dan solat. 
d) Satu wuduk hanya boleh digunakan untuk satu solat fardu sahaja dan seberapa banyak ibadah sunat yang lain.

ii. Melakukan jamak (himpun) bagi solat-solat yang boleh dijamakkan (menurut Mazhab Hanbali dan pandangan pilihan sebahagian ‘ulama Mazhab Syafi’i).

a) Sucikan diri daripada najis dan hadas setelah masuk waktu solat dan kemudian solat. Solat adalah sah dan tidak perlu diulang.
b) Satu wuduk boleh digunakan untuk lebih daripada satu solat fardu dan seberapa banyak ibadah sunat yang lain selama waktu solat tersebut belum habis. Contohnya bersuci di dalam waktu Zohor, boleh ditunaikan solat fardu Zohor dan Asar secara jamak dan solat-solat fardu yang diqada` (diganti) jika ada, serta ibadah sunat yang lain selama waktu Zohor masih ada.

Boleh rujuk tatacara berwuduk terbitan JAKIM seperti di pautan berikut:

Garis Panduan Bersuci Dan Bersolat Bagi Pesakit (halaman 42-43)

Berdasarkan panduan yang diberikan, boleh memilih antara dua pilihan tersebut. Jika tuan memilih pilihan pertama, maka hendaklah memperbaharui wuduk dan menukar balutan setiap kali solat ganti. Jika memilih pilihan kedua, maka boleh melakukan seberapa solat qada' (ganti) dalam satu wuduk.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 22

message user image