BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz/ustazah, saya ada 2 persoalan berkaitan puasa.

1. Saya meninggalkan puasa dgn sengaja pada 2023, dan baru menggantikannya sebelum masuk puasa 2026. Bagaimanakah untuk mengira fidyah saya jika saya tinggal di Kuala Lumpur yang berganda mengikut tahun? Dan macam mana kalau saya masih belum bayar fidyah lagi untuk puasa yang digantikan tersebut walaupun setelah masuk puasa 2026?

2. Jika seseorang hendak menggantikan puasa yang ditinggalkannya, wajibkah dia sertakan tahun dan tarikh yang ditinggalkan tersebut dalam niat? Contoh 'Sahaja aku berpuasa esok hari bagi menggantikan fardu puasa yang ditinggalkan pada tarikh sekian..kerana Allah S.W.T'?

3. Masa saya telan air liur, saya rasa macam pelik sedikit, jadi saya sentuh bibir saya risau kalau ada luka berdarah yang saya tak perasan, tapi saya tengok tak ada apa², jadi saya telan macam biasa, kemudiannya saya tergerak untuk sentuh kembali, kali ini saya lihat ada sedikit darah dari luka di bibir, lalu saya tahan sehingga saya jumpa tempat yg sesuai untuk basuh luka tersebut dan berusaha untuk tidak menelan air liur lagi. Adakah puasa saya dikira batal kerana menelan air liur yg mungkin sudah bercampur dengan darah sewaktu saya sentuh dengan jari masa awal² tu ustaz/ustazah?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan:

1. Orang yang sengaja meninggalkan puasa Ramadhan adalah berdosa besar kerana ia merupakan salah satu daripada rukun Islam. Puasa Ramadhan yang tidak diqada' pada tahun semasa akan dikenakan fidyah. Walaupun fidyah dibayar, puasa yang ditinggalkan tetap wajib diqada', namun jumlahnya tidak akan berganda.

Bagi pembayaran fidyah, terdapat 2 pilihan yang boleh dilaksanakan mengikut kemampuan seseorang iaitu: 

i. Berganda (Cara kiraan: Jumlah hari puasa yang ditinggalkan x RM 2.00 x Bilangan tahun yang ditinggalkan), atau

ii. Tidak berganda (Cara kiraan: Jumlah hari puasa yang ditinggalkan x RM 2.00)

Seandainya puan tidak dapat membayarnya secara sekaligus, puan boleh membayarnya secara ansuran. Bayaran fidyah secara berganda bagi yang berkemampuan adalah suatu saranan yang digalakkan dan bukan suatu kewajipan. Berkemampuan bermaksud tidak membebankan atau menyebabkan puan berada dalam kesusahan sekiranya membayar secara berganda.Sila rujuk laman sesawang Lembaga Zakat Selangor untuk pengiraan dan bayaran secara atas talian: https://fpx.zakatselangor.com.my/fpx_paynow.asp

2. Tidak. Niat ibadah wajib memenuhi dua perkara iaitu qasad (tujuan) dan ta’yin (penentuan jenis ibadah). Justeru, memadai niat puasa qada’ dan tidak disyaratkan menentukan tahun atau tarikh secara khusus.

3. Perlu difahami bahawa sesuatu perkara dihukumkan atas keyakinan dan jelas. Jika tidak kelihatan darah yang jelas, tidak rasa darah yang nyata atau tidak sengaja menelan setelah yakin ada darah, maka puasa adalah sah. Jika pun ada campuran sangat sedikit yang tidak disedari, maka ia termasuk perkara yang dimaafkan.

 الله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 77

message user image