Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt.
Saya akan ke Jepun pada 20 Mac 2026. Kalau diikutkan, Jepun akan menyambut Aidilfitri pada 20 Mac 2026, sama seperti di Saudi. Kita di Malaysia, Aidilfitri dijangka pada 21 Mac. Persoalan saya, adakah saya boleh solat Aidilftri di Jepun pada 20 Mac, atau perlu berpuasa lagi sehingga 21 Mac?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, jika seseorang berpindah ke suatu tempat yang beraya lebih awal, maka puan perlu beraya mengikut tempat di mana puan berada pada ketika itu. Puan tidak boleh berpuasa bersendirian sedangkan masyarakat Muslim di Jepun pada waktu itu sudah berhari raya. Jika jumlah puasa puan belum cukup 29 hari atau lebih, maka puan wajib qada’ satu hari puasa selepas Raya nanti. Jika puasa puan telah mencukupi sebulan sama ada 29 atau 30 hari maka tidak perlu qada'.
Kata al-Syeikh Muhammad bin Saleh al-‘Uthaimin RH:
Maksudnya: “Apabila seseorang dari satu negara yang lewat memulakan puasa bermusafir dan sampai di negara yang lebih awal memulakan puasa, wajib ke atasnya, jika penduduk negara tersebut berhari raya untuk dia berhari raya bersama mereka. Hal ini kerana, negara yang dikunjunginya itu telah sabit masuk bulan Syawal, maka hari itu adalah hari raya. Nabi SAW telah melarang berpuasa pada dua hari raya (raya Fitri dan Adha). Oleh kerana itu, wajib bagi orang yang sampai dari negara yang lewat berpuasa berbanding negara yang dikunjunginya untuk berhari raya bersama penduduk negara yang dikunjunginya itu. Apa-apa pengurangan yang berlaku, hendaklah diqadhaiaitulah apabila jumlah hari puasanya hanya 28 hari, maka hendaklah dia qadha puasa sehari. Berbeza jika dia dari negara yang puasa lebih awal dari negara yang dikunjunginya. Dia hendaklah kekal berpuasa sehinggalah penduduk negara yang dikunjunginya berhari raya berdasarkan hadis Nabi SAW: “Berpuasa adalah pada hari orang ramai berpuasa dan berhari raya adalah pada hari orang ramai berhari raya
Sekian, terima kasih.