Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya menunaikan solat tarawih dengan membaca surah dari mushaf Al Quran.
Jika ada ayat yang panjang, contoh Al Baqarah ayat 85; boleh ke saya tamatkan bacaan untuk rakaat pertama (rukuk) selepas wakaf Jim atau Wakaf Sod Lam Ya.
Atau saya perlu habiskan sepenuhnya Al Baqarah ayat 85 untuk membolehkan rukuk?
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, setiap orang yang ingin mendirikan solat sama ada secara bersendiri atau menjadi imam perlu menjaga ketika ingin memberhentikan bacaan agar tidak memberhentikannya pada ayat yang boleh mengubah makna al-Quran. Berdasarkan sebuah hadis di mana Nabi SAW menegur perbuatan seorang khatib apabila khatib tersebut waqaf pada tempat yang salah iaitu:
Maksudnya: Terdapat seorang khatib sedang menyampaikan khutbah di samping Nabi SAW. Katanya (khatib tersebut): “Barangsiapa yang mentaati Allah dan rasul-Nya, maka dia akan memperoleh petunjuk. Dan juga barangsiapa yang melakukan kepada keduamya (Allah dan rasul-Nya).” Maka Nabi SAW bersabda: Bangun atau pergilah kamu! Kamu adalah seburuk-buruk khatib. (Riwayat Abu Daud)
Justeru, dapat difahami bahawa sesorang yang membaca al-Quran perlu menjaga tanda baca waqaf sekiranya ingin berhenti membaca padasesuatu tempat yang dikhuatiri boleh merosakkan makna (waqaf qabih), yang boleh menggantungkan maksudnya. Sebaiknya hendaklah seseorang itu menghabiskan satu ayat secara sempurna.
Sekian, terima kasih.