Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, dulu saya pernah ke pasar ketika hujan dan jalan raya ketika itu basah. Kemudian, saya perasan laluan itu bersebelahan dgn najis anjing (tapak kasut sebelah najis). Ketika itu hujan dan air hujan mungkin mengalir dari najis ke tapak kasut saya. Soalan saya 1: Adakah kasut saya dikira najis disebabkan oleh air hujan yang terkena najis mengalir? Soalan 2: Sekiranya kasut itu najis dan tak disertu, adakah najis itu boleh tersebar di masa mendatang sekiranya saya terpegang tapak /kasut terkena barang lain?
Jawapan
Dalam mazhab Syafi'i, air yang sedikit (kurang dari dua qullah) akan menjadi najis apabila bercampur dengan najis, walaupun najis itu tidak mengubah sifat air tersebut. Namun, jika air itu banyak (dua qullah atau lebih) dan tidak berubah sifatnya (warna, bau, rasa) disebabkan najis, maka air itu kekal suci.
1) Dalam situasi anda, air hujan yang mengalir dari najis anjing ke tapak kasut anda boleh menyebabkan kasut anda menjadi najis. Ini kerana air hujan yang mengalir itu dianggap sebagai air mutaghayyir (air yang berubah sifatnya kerana najis) atau air sedikit yang bercampur najis.
2) Jika kasut anda najis dan tidak disucikan (disertu), najis tersebut boleh tersebar ke tempat lain atau barang lain yang bersentuhan dengannya, terutamanya jika terdapat kelembapan.
Penyebaran najis boleh berlaku apabila najis yang basah bersentuhan dengan sesuatu yang suci dan basah, atau najis yang basah bersentuhan dengan sesuatu yang suci dan kering lalu meninggalkan kesan najis. Jika najis itu kering dan tidak ada kelembapan, ia tidak akan menyebarkan najis melainkan jika ada geseran yang kuat sehingga menyebabkan zarah najis berpindah.
Sekian, terima kasih.