BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum mufti. Mohon bantu saya. Baru baru ini sy ke China. Dah dua bulan lepas. Sambil berjalan di sana, sy ternampak cecair kuning di lantai. Sy rasa saya dah elak drpd terpijak cecair itu. Jd, sy pun tidak terus cek tapak kasut boot saya sama ada tak cecair itu. Sy nk elak was was jugak so sy decide utk tak cek. Sy terus berjalan je mcm biasa sambil sambil sy mcm gosok tapak kasut tu ke batu atau apa apa permukaan sepanjang berjalan tu. Tp ada satu masa tu, sy jd takut dan was was so sy cek jugak tapak kasut boot tu. Bila cek, ada nampak debu shj, tiada kesan cecair. Sy takut sbb kawasan itu mmg ada anjing berkeliaran. Sy takut kalau sy terpijak cecair itu dan cecair itu air kencing anjing tp sy tak sedar benda tu sbb sy tak cek dari awal.

Pertama. Jd apa patut saya buat? Sy kena sertu jugak ke kasut tu, tgn saya, badan saya dan barang barang yg saya mungkin sentuh selepas tu? Atau buat taktau je? Sy risau takut sy dah sebarkan najis tu ke merata rata kalau betul itu najis anjing sbb benda ni dah lama. Mungkin sy dah tersentuh kasut itu dan dah memindahkan najis itu ke tempat lain tanpa saya sedar. Sy jd terfikir pasal benda ni sbb kawasan itu ada anjing so otak saya banyak ke arah cecair kuning itu air kencing anjing. Tp pada masa yg sama pun sy tak boleh nk yakinkan diri sy yg sy terpijak benda tu sbb masa sy rasa nk cek tapak kasut tu sy hanya nampak debu.

Kedua, sbb sy was was jugak lepas tu. Jd bila dah sampai hotel. Sy pun pergi basuh tapak kasut tu dkt sink hotel dlm bilik. Sbb masa tu sy fikir mcm basuh je lah just utk hilangkan ain air kencing tu. Walaupun sy sendiri tidak pasti betul ke sy ada terpijak or cecair itu td mmg air kencing anjing ke tak. Sy buat just utk senangkan hati saya. Dan masa tu jugak sy tak tau ttg hukum najis hukmi mughalazzah yg masih boleh berpindah kalau basah kalau ikut mazhab Shafie. Sy ingtkan as long as sy hilangkan ain najis tu, najis tak berpindah dah. Jd adakah sink tu dah dikira bernajis jugak? Kalau kawan sy tersentuh sink itu ketika basah, adakah najis berpindah ke tgn kawan sy? Sbb sy share hotel dgn kawan saya. 

Ketiga, sy jd risau ttg ini sbb sy risau ibadah solat saya, kawan saya tidak sah. Tp sy pun taktau cara nak selesaikan masalah ini. Buat masa skrg, saya masih solat mcm biasa. Tp dlm hati, ada jugak terdetik takut ibadah tidak sah. Tp sbb benda ni dah lama sy pun taktau nk buat mcm mana. Kalau betul itu najis anjing, boleh ke mufti tolong ajar saya cara untuk memperbetulkan balik masalah ini agar sy boleh bertenang dan yakin ibadah saya yg skrg dan di masa depan sah? Contoh, mcm sy kena sertu seluruh badan saya ke. Adakah Allah memahami masalah saya dah menerima ibadah saya? Skrg sy bertawakkal saja kepada Allah. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, 

1)  Status Cecair yang Tidak Pasti

Dalam hukum syarak, sesuatu perkara itu kekal pada hukum asalnya iaitu suci selagi tidak terbukti secara yakin adanya najis. Oleh itu, tidak perlu menyertu atau membasuh tapak kasut tersebut. Ini kerana puan hanya "nampak" cecair kuning dan "nampak" anjing berkeliaran, tetapi tidak mempunyai keyakinan 100% bahawa itu adalah air kencing anjing. Ia mungkin air karat, air minuman yang tumpah, atau cecair lain.  Berdasarkan kepada kaedah fiqh ada menyatakan: 

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan (syak).

2) Tindakan anda membasuh tapak kasut di sinki hotel adalah untuk menenangkan hati anda, bukan kerana anda yakin ia bernajis. Memandangkan hukum asalnya adalah suci (seperti yang dijelaskan di atas), maka sinki tersebut tidak menjadi najis. Walaupun anda membasuhnya, ia tidak mengubah status asal sinki tersebut yang suci.

Prinsip najis hukmi mughallazah (najis berat) yang boleh berpindah jika basah hanya berlaku jika najis itu benar-benar wujud dan berpindah. Dalam situasi anda, tiada keyakinan bahawa najis anjing itu wujud pada kasut anda. Oleh itu, sinki dan tangan kawan anda yang mungkin tersentuh sinki itu kekal suci.

3) Anda tidak perlu risau tentang kesahihan ibadah solat anda atau kawan anda. Berdasarkan prinsip fiqh bahawa "Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan (syak)", segala ibadah yang telah anda lakukan adalah sah. Allah SWT Maha Mengetahui niat dan keadaan hamba-Nya. Apabila seseorang berusaha untuk menjaga kesucian dan berhati-hati, tetapi kemudian timbul keraguan tanpa bukti yang kukuh, maka keraguan itu tidak perlu dilayan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 25

message user image