Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz mak saya pakai stoma bag selama 6 tahun jenama convatec dan baru2 ini baru kkm keluarkan kenyataan convatec punya pelekat stoma bag itu mempunyai porcine iaitu gelatin babi dan smua stoma yg dibekalkan kerajaan ditarik balik soalan saya adakah saya perlu sertu mesin basuh yg dh basuh baju mak saya dan kadangkala stoma bag itu bocor dan najis terkena pada baju mak saya dan mak saya selalunya basuh dulu di lantai bilik air baju yg terkena najis adakah lantai bilik air itu berpindah najis mugzhallazah atau hanya najis dari stoma bag itu sahaja adakah perlu sertu smua baju atau buang semua baju mohon pencerahan
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, perlu difahami bahawa sesuatu benda menjadi bernajis apabila dapat dipastikan wujud ‘ain najis tersebut secara jelas. Dalam isu ini, perlu dibezakan antara dua perkara iaitu:
Najis yang keluar daripada beg stoma perlu dibersihkan seperti biasa sehingga hilang warna, bau dan rasa. Ia bukan najis mughallazah, sebaliknya najis mutawassitah (pertengahan).
Manakala pelekat beg stoma yang telah disahkan mengandungi unsur porcine (gelatin babi) padanya telah bercampur dengan najis mughallazah. Namun, hukum berpindahnya najis bergantung kepada kewujudan ‘ain yang nyata serta berlaku sentuhan dalam keadaan lembab yang boleh memindahkan zat tersebut.
Berbalik kepada pakaian yang terkena najis akibat kebocoran daripada beg stoma, memadai jika dibasuh seperti biasa sehingga bersih. Tidak perlu disertu kerana ia bukan najis mughallazah.
Adapun berkaitan mesin basuh, lantai bilik air dan pakaian lain, jika tiada bukti jelas bahawa terdapat ‘ain najis mughallazah yang berpindah, maka ia kekal dihukum suci. Basuhan pakaian yang telah dibersihkan daripada najis sebelum dimasukkan ke dalam mesin basuh tidak menyebabkan mesin tersebut menjadi najis. Lantai bilik air yang terkena najis manusia juga hanya perlu dibersihkan seperti biasa tanpa perlu sertu. Tidak perlu menyertu semua pakaian atau membuang pakaian yang telah dibasuh selagi tiada kepastian jelas wujud ain najis mughallazah. Sikap berhati-hati adalah baik, namun elakkan daripada terjerumus ke dalam was was yang berlebihan.
Sekian, terima kasih.