Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz/ustazah, kebiasaannya saya mengalami keputihan yang banyak pada tempoh-tempoh tertentu, seperti selepas habis haid, lebih kurang selama beberapa hari. Lain dari tempoh itu, saya tidak mengalami keputihan. Sepengetahuan saya, sekiranya perempuan mengalami masalah keputihan, dia harus guna satu wuduk untuk satu waktu solat fardu sahaja. Tapi bagaimana untuk situasi saya yang ada tempoh keputihan banyak, ada tempoh lain yang saya tak ada keputihan? Adakah saya tetap harus bersihkan kemaluan setiap kali nak solat dan guna wuduk untuk satu solat fardu sahaja, walaupun pada tempoh itu saya dalam keadaan normal (tidak mengalami masalah keputihan)?
Jawapan
Merujuk persoalan yang diajukan, jika keputihan puan hanya berlaku pada tempoh tertentu sahaja, contohnya beberapa hari selepas habis haid, dan pada waktu lain puan tidak mengalaminya, maka puan tidak dianggap sebagai orang yang mempunyai masalah keputihan yang berterusan di dalam hukum fiqh. Oleh itu, pada waktu yang tiada keputihan, puan boleh berwuduk dan solat seperti biasa tanpa perlu mengambil satu wuduk bagi setiap waktu solat dan tanpa perlu membersihkan kemaluan setiap kali solat. Namun, jika pada waktu tertentu keputihan keluar, maka puan perlu membersihkan kemaluan dan mengambil wuduk sebelum solat, dan jika ia keluar semula selepas berwuduk maka wuduk tersebut terbatal dan perlu diperbaharui. Hukum mengambil satu wuduk untuk satu waktu solat hanya terpakai kepada wanita yang mengalami keputihan secara berterusan dan sukar dihentikan sepanjang waktu solat.
Sekian, terima kasih.