Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Persoalan tentang darah spotting ketika makan ubat dr. Saya baru sahaja abis period 29/1-7/2 Tengah makan ubat visanne rawatan untuk endometriosis selama 2 bulan. Tapi ketika makan ubat telah datang darah coklat, tidak berterusan. Kadang2 di petang hari atau malam . Darah spotting itu datang dari 18/2 sehingga 24/2 Persoalan adakah ini menghalang saya untuk puasa dan solat, adakah boleh bersetubuh dengan suami dalam tempoh keluar darah spotting.
Jawapan
Secara asasnya, untuk mengenali darah haid, ia boleh dipastikan dengan mengetahui sifat-sifat darah melalui warna darah (hitam, merah, perang, kuning dan keruh), darah pekat atau cair dan darah berbau kuat dan kurang baunya. Jika warna-warna tersebut keluar dalam tempoh tidak melebihi tempoh maksimum haid 15 hari 15 malam, maka ia masih dianggap sebagai darah haid.
Untuk mengetahui darah yang datang itu ialah haid, maka wanita itu perlu melihat sebelum darah itu datang adakah dia telah melalui tempoh suci sekurang-kurangnya 15 hari. Jika ya, maka darah yang baru datang itu bolehlah dikira haid jika ternyata cukup 24 jam. Maksud 24 jam itu ialah sama ada datang berterusan selama 24 jam atau terputus-putus tetapi apabila dicampurkan himpunan masanya maka ia cukup 24 jam asalkan tidak melepasi 15 hari.
Merujuk soalan yang diajukan:
Sekiranya darah spotting yang keluar menepati ciri-ciri darah haid seperti yang disebutkan, maka ia dikira haid walaupun luar daripada kebiasaan. Namun, darah spotting saudari yang keluar daripada 18/2 hingga 22/2 masih kurang melalui tempoh sekurang-kurang suci iaitu 15 hari 15 malam dari tarikh 7/2. Oleh demikian, darah tersebut dikira istihadhah yang diwajibkan untuk terus solat dan berpuasa. Manakala pada hari hari seterusnya baru bermula dikira darah haid.
Sama ada diharuskan berhubungan suami isteri atau tidak ketika keluar darah spotting, bergantung kepada keadaan sama ada ia keluar semasa dalam tempoh haid atau istihadhah. Seandainya ia keluar dalam tempoh haid, maka haram melakukan persetubuhan. Seandainya ia keluar dalam tempoh istihadhah, maka persetubuhan diharuskan.
Sekian, terima kasih.