Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz/ustazah, semasa puasa, saya rasa macam ada air dekat telinga, namun saya tak pasti dia masuk atau keluar, dan saya tak berani untuk sentuh kerana risau dia termasuk had batin telinga..tak lama sebelum tu, memang saya ada mandi dan kena pada telinga..adakah batal puasa saya?
Jawapan
Pada asasnya, menitiskan air ke dalam batin telinga boleh membatalkan puasa berdasarkan pendapat yang paling sahih. Sementara had telinga yang membatalkan puasa itu ialah apabila melepasi tengkorak kepada atau bahagian dalam telinga. Berdasarkan soalan yang diajukan, sekiranya air yang kena pada telinga tetapi tidak melebihi had batin telinga maka tidak batal puasanya. Sheikh al-Dimyati menyimpulkan dengan satu kaedah untuk permasalahan ini, kata beliau:
Maksudnya: Hasil daripada kaedah ulama bahawa apa-apa yang memasuki rongga disebabkan bukan daripada sebarang perintah mandi maka membatalkan puasa, setiap mandi atas dasar perintah syarak walaupun sunat, tidak membatalkan puasa. (Rujuk I’anah al-Thalibin ‘Ala Halli Fath al-Mu’in, 2/265).
Walau bagaimanapun, air yang masuk ke rongga dalam telinga ketika mandi membatalkan puasa sekiranya bukan mandi disebabkan tuntutan syarak seperti berendam dalam air atau mandi hanya untuk bermain air. Puasa tidak terbatal sekiranya air masuk ke dalam telinga ketika mandi atas tuntutan syarak seperti mandi wajib, mandi sunat selagi tidak berendam. Air yang masuk ke dalam telinga dengan cara mandi secara berendam membatalkan puasa kerana berlebih-lebihan sedangkan ia ingat dan sedar sedang berpuasa.
Sekian, terima kasih.