BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Saya berusia 35 tahun dan sedang menggunakan perancangan keluarga jenis suntikan(Depo). Sepanjang tempoh menggunakannya saya tidak datang haid secara teratur. Kali terakhir saya datang haid ketika anak saya berusia sebulan. 

Semalam, ketika hendak berwuduk, saya membersihkan kemaluan dan memasukkan jari bagi melihat jika ada darah. Ya, memang ada darah tetapi darah tersebut tidak banyak dan tidak terkena pada pakaian dalam saya mahupun menitik. Dan saya meneruskan puasa saya seperti biasa. 

Pada hari ini, selepas saya berbuka, saya membersihkan diri seperti biasa dan saya cek masih ada darah tapi tetap tidak banyak. Kuantitinya sangat sedikit seperti setitik air sahaja. 

Adakah ia dikira darah haid atau darah istihadah ?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Darah haid ialah darah yang keluar sekurang-kurangnya mencukupi 24 jam dan paling lama ialah 15 hari 15 malam. Untuk mengetahui darah yang datang itu ialah haid, maka wanita itu perlu melihat sebelum darah itu datang adakah dia telah melalui tempoh suci sekurang-kurangnya 15 hari. Jika ya, maka darah yang baru datang itu bolehlah dikira haid jika ternyata cukup 24 jam. Maksud 24 jam itu ialah sama ada datang berterusan selama 24 jam atau terputus-putus tetapi apabila dicampurkan himpunan masanya maka ia cukup 24 jam asalkan tidak melepasi 15 hari. 

Tidak semestinya darah yang keluar perlu banyak atau keluar melebihi faraj, baru dianggap sebagai darah haid. Darah yang dapat dikesan, sebagai mana yang dilakukan (disebut sebagai fatrah), tetap dianggap sebagai darah haid sekiranya memenuhi syarat.

Merujuk soalan yang diajukan,

  1. Darah tersebut masih dikira haid sekiranya menepati ciri dan syarat-syarat darah haid walaupun menyalahi adat kebiasaan.
  2. Perbuatan memasukkan jari ke dalam faraj secara sengaja dapat membatalkan puasa. Kerana antara perkara yang membatalkan puasa ialah memasukkan sesuatu ke dalam rongga yang terbuka. Kemaluan depan dan belakang (qubul dan dubur) merupakan antara rongga yang terbuka. Had yang membatalkan puasa ialah had batin faraj.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 21

message user image