Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Anak saya berusia 18 tahun telah meninggal dunia.
Arwah mempunyai wang simpanan di dalam akaun bank dan KWSP kerana pernah bekerja selama 3 bulan sementara menunggu keputusan SPM. Saya dan ayah arwah telah bercerai dan kesemua hak penjagaan anak adalah di bawah nama saya. Soalan saya:-
1. Bekas suami saya telah menyatakan secara lisan yang dia melepaskan hak dia terhadap wang simpanan itu kepada saya dan anak-anak yang lain. arwah mempunyai 1 orang kakak dan 1 orang abang yang masih menuntut. Boleh ke memberikan penjelasan bagaimana proses pembahagian faraid ini?
2. Saya sendiri ada membuka akaun SSPN (di bawah nama saya dan arwah) dan membuat simpanan menggunakan wang saya sepenuhnya. Adakah wang ini juga perlu di faraid kan?
3. Badal haji untuk arwah anak saya. Adakah ia wajib dilakukan? Carian di internet buat saya keliru. Untuk makluman anak saya meninggal kerana penyakit kronik. Sekiranya wajib dilakukan, boleh ke saya melakukannya dengan wang simpanan arwah dan menguruskan urusan faraid dengan baki wang yang ada?
Pencerahan dan penerangan daripada pihak Jabatan Mufti Negeri Selangor amat saya hargai. Sekian, terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan:
1. Pihak puan perlulah membuat tuntutan di Pejabat Pusaka Kecil di Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG), dan bapa si mati (bekas suami puan) hendaklah mengisi borang DDA melepaskan bahagian kepada puan dan waris-waris yang lain.
2. Menurut syarak, akaun SSPN yang dibuka oleh puan untuk simpanan arwah anak bergantung kepada niat puan. Seandainya niat puan sekadar untuk mengasingkan wang tersebut untuk kegunaan anak pada masa hadapan, maka wang simpanan itu adalah milik puan. Sekiranya puan berniat menghadiahkannya kepada anak puan, maka wang simpanan itu menjadi harta pusaka arwah anak yang perlu difaraidkan.
3. Sekiranya semasa dalam hidup arwah anak telah berkemampuan dan memiliki simpanan yang mencukupi untuk menunaikan haji, maka wajib bagi waris untuk membuat badal haji kepada arwah menggunakan harta puasa arwah. Namun sekiranya dalam hidup arwah tidak berkemampuan serta tidak memiliki simpanan yang mencukupi untuk menunaikan haji, maka tidak wajib bagi waris untuk membuat badal haji untuk arwah. Walau bagaimanapun, harus bagi waris membuat badal haji menggunakan harta peninggalan arwah dengan keizinan serta persetujuan ahli waris.
Sekian, terima kasih.